suria

Laporan Tiada Etika, Johan (Raja Lawak) 'Blacklist' Penulis Blog

Johan tidak akan membuat temu bual dengan mana-mana penulis blog.
PETALING JAYA: Penulis blog hiburan di negara ini menerima padah apabila pelawak dan penyampai radio Johan (Raja Lawak) tidak akan memberikan ruang kepada mereka untuk menemubualnya kerana menganggap penulisan blog hiburan tidak beretika.

Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim, 31, kecewa kerana penulis blog hiburan kebanyakannya gemar membuat kesimpulan sendiri berdasarkan status di laman Instagram dan Twitter tanpa mahu merujuk kepadanya terlebih dahulu.

"Saya tidak akan layan penulis blog dan saya berpendapat kehadiran mereka sebenarnya langsung tidak diperlukan. Jika ada sesiapa yang ingin membuat temu bual dengan saya, saya akan bertanya terlebih dahulu mereka dari mana dan sekiranya dia adalah blogger saya tidak akan layan," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Johan berkata, namanya beberapa kali menjadi sasaran golongan tersebut dan mereka tidak pernah cuba menghubunginya untuk mendapatkan kepastian tentang sesuatu perkara yang dibangkitkan.

Atas dasar itu juga dia tidak merasakan sebarang keperluan untuk memberi layanan apabila dihampiri penulis blog ketika bertemu dalam sesebuah acara hiburan.

Johan mengakui tidak mempunyai laman sosial seperti mana artis lain.

"Mereka ini semua nonsense (tidak berfaedah). Andaian yang mereka buat selalunya akan membuatkan sesuatu perkara itu menjadi lebih kecoh.

"Sebab itu saya tidak mahu melayan golongan ini dan ia tidak mendatangkan sebarang kerugian pun," ujarnya.

Kata Johan, dia tidak berasa takut sekiranya kenyataan ini akan dikecam oleh mereka kerana ia bukan sahaja mewakili dirinya malah golongan artis secara umum.

"Bukan saya sahaja tetapi ada artis lain lebih teruk kena dengan mereka apabila artikel memburuk-burukkan dan tidak mempunyai fakta dihasilkan.

"Buat apa hendak berasa takut sekiranya mereka hendak kecam kerana mereka sendiri tidak pernah bertanya apa-apa sebelum menulis sebarang artikel," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Johan mendedahkan dia tidak pernah mempunyai sebarang laman sosial termasuk Facebook dan Instagram kerana menganggap ia sebagai tidak berfaedah.

Bagaimanapun kata Johan, isterinya, Ozlynn Wati banyak memberitahunya tentang perkembangan yang berlaku dalam dunia hiburan namun ia sekadar perkongsian mereka suami-isteri.

"Saya memang tiada media sosial dan sekiranya ada gosip atau artikel mengarut mengenai saya, isteri akan beritahu selain perkembangan dunia hiburan.

"Saya lebih gemar membaca surat khabar untuk mengetahui perkembangan semasa daripada membaca blog," katanya.

Johan Raja Lawak.

Artikel Sebelum

Artikel Lain