KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia Datuk Rossa menyifatkan kehadiran bakat-bakat baharu di negaranya tidak pernah menggugat dia sebagai seorang penghibur popular. Rossa atau nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani berkata, dia tidak perlu berasa takut untuk bersaing memandangkan sudah mempunyai liga yang tersendiri. "Pengalaman saya jauh lebih besar daripada penyanyi-penyanyi muda sekarang dan saya tidak perlu takut dengan mereka. "Sebaliknya saya anggap ia satu saingan yang sihat tambah pula penyanyi-penyanyi muda zaman sekarang mempunyai gaya nyanyian yang unik dan tersendiri," katanya. Rossa ditemui pada majlis pelancaran konsert solonya Malam Keajaiban Cinta di Istana Budaya di sini pada Khamis. Hadir sama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani. Rossa (bawah - dua dari kanan) bersama mereka yang terlibat dalam konsertnya yang bakal berlangsung pada Mei depan. Dalam pada itu tambah penyanyi yang popular dengan lagu Tegar ini, kehadiran penyanyi-penyanyi baharu juga memberikan inspirasi dalam memperbaiki lagi mutu persembahannya. Sementara itu, mengenai konsert Malam Keajaiban Cinta, ia bakal berlangsung pada 22 dan 23 Mei depan di Panggung Sari, Istana Budaya. Rossa merupakan penyanyi Indonesia pertama mengadakan konsert solo di pentas bertaraf berprestij itu. "Saya terkejut apabila pihak Istana Budaya menghubungi saya menawarkan mengadakan konsert di pentas berprestij itu. "Ia satu penghargaan besar dan semestinya saya mahu tampil dengan kelainan berbanding persembahan-persembahan saya sebelum ini," ujarnya. Konsert tersebut dianjurkan oleh Airish Events dengan kerjasama Mask Team. Tiket dijual dengan harga RM78, RM108, RM218, RM238, RM258, RM278, RM338 dan RM518. Ia boleh ditempah menerusi laman rasmi www.airasiaredtix.com