suria

Fazura Enggan Hirau Pihak Pertikai Kebolehannya Menyanyi

PETALING JAYA: Pelakon Fazura tidak mahu mengambil serius terhadap segelintir pihak yang mempertikaikan kebolehannya bergelar penyanyi selepas melancarkan single pertamanya berjudul Sayangi Dirimu.

Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 32, berkata, dia tidak berhak untuk menghalang golongan berkenaan untuk memberikan pandangan masing-masing.

"Terpulang, jika itu pendapat mereka dan orang boleh kata apa sahaja.

"Saya tidak mahu lagi peduli tentang apa orang kata kerana paling penting saya gembira dengan apa yang saya lakukan dan hanya mahu memandang positif seperti mana mesej dalam Sayangi Dirimu," katanya kepada mStar Online.

Fazura ditemui pada majlis pelancaran single pertamanya itu di pejabat Warner Music di sini, Jumaat.

Fazura turut membuat persembahan semasa pelancaran single terbaharunya.
Pada majlis berkenaan Fazura turut mendendangkan lagu tersebut selain melancarkan video muzik lagu berkenaan.

Sayangi Dirimu sudah pun mendapat 50,000 tontonan di YouTube sejak ia dilancarkan pada malam Ahad lalu.

Dalam pada itu, Fazura berkata, dia sebenarnya sudah lama berhasrat untuk bergelar penyanyi namun rezeki dalam lakonan dan pengacaraan terlebih dahulu membuka jalan dalam kariernya.

Katanya lagi, dia juga pernah berasa skeptikal untuk bergelar penyanyi kerana bimbang sama ada dapat diterima atau sebaliknya.

"Sejak kecil lagi saya memasang impian untuk bergelar penyanyi tetapi rezeki terlebih dahulu dalam bidang nyanyian.

"Bagaimanapun syukur akhirnya impian itu menjadi kenyataan biarpun mengambil masa untuk muncul dengan single pertama tetapi saya anggap ia ketentuan daripada-Nya," ujar Fazura.


Fazura tidak endah kritikan orang ramai terhadap kebolehannya menyanyi.

Sementara itu, Fazura memberitahu dia tidak pernah memasuki sebarang kelas vokal sebaliknya sering menyanyi sebagai latihan pemantapan suara dan mengikut nasihat Datuk Sheila Majid agar kerap berlatih dengan menyanyikan pelbagai lagu.

Dalam perkembangan sama, Fazura berkata, sebagai penyanyi dia bercadang untuk tampil dengan album penuh tetapi ia masih dalam peringkat perbincangan.

Bagaimanapun dia bakal merakamkan lagu duet bersama penyanyi Singapura, Taufik Batisah dalam masa terdekat sebagai kesinambungan terhadap Sayangi Dirimu.

"Jika ada rezeki, Insya-Allah saya akan tampil dengan album penuh tetapi itu masih di peringkat perancangan sahaja.

"Pun begitu saya teruja apabila Taufik sudi menghasilkan sebuah lagu untuk kami berduet dan dalam masa terdekat ini kami akan berjumpa untuk berbincang mengenainya," tutur Fazura.

Sayangi Dirimu hasil ciptaan komposer Damian Mikhail dan lirik oleh Shah Shamsiri itu boleh mula dimuat turun di iTunes selain aplikasi KKBox, Deezer dan Spotify.

Fazura

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain