KUALA LUMPUR: Pengacara Datuk AC Mizal berkata, stesen radio bervisual baharu yang ditubuhkannya iaitu Peace Yall FM bukan sebuah radio komedi walaupun kebanyakan deejaynya daripada kalangan pelawak-pelawak popular. AC yang juga presiden saluran radio internet itu sebaliknya menyifatkan pengambilan pelawak-pelawak sebagai penyampai radio itu sekadar mengikut trend bagi menghiburkan masyarakat yang menggemari hiburan lawak. "Saya tak boleh nak kata radio ini berkonsepkan komedi tetapi Peace Yall FM sekadar mengikut aliran trend di mana pada masa kini lebih ke arah hiburan komedi. Sebab itu saya mengambil pelawak-pelawak sebagai penyampai radio. "Tetapi andai kata trend berubah, maka saya akan meminta para penyampai turut berubah. Sebagai contoh, sekiranya trend pada masa akan datang mahukan hiburan berkonsep sedih, maka Peace Yall FM akan mengikut cara itu," katanya kepada mStar Online. AC ditemui pada majlis pelancaran Peace Yall FM di Zebra Square di sini pada malam Rabu. Pelancarannya dilakukan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Deejay Peace Yall FM dibarisi barisan pelakon dan pelawak popular seperti Adlin Aman Ramlie, Joey Daud, Sobri Anuar, Emelda Rosemilda, Syuk (Balas), Acong, Fad (Bocey), Vicha dan Bochil daripada kumpulan Saywho. Rashidi Ishak adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Peace Yall FM. Selain itu, seramai 10 penyampai baharu yang antaranya seperti Kiki, Wirda, Haili, Elfe, Aizat Ishak, Rendy Ricky, Aqinna, Elfie Azlan, Iema Haris dan Jeed Zulkifli turut mengendalikan stesen tetsebut mengikut segmen masing-masing. Peace Yall FM bersiaran 24 jam sehari dan beroperasi sepenuhnya melalui sistem interaktif aplikasi di 'Apps Store' bagi pengguna Apple iOs atau 'Google Play Store' untuk pengguna sistem peranti Android. Selain AC, isterinya, Emylia Rosnaida memegang jawatan naib presiden manakala aktor Rashidi Ishak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Menurut AC, dia telah melaburkan jutaan ringgit untuk menubuhkan Peace Yall FM yang berkonsepkan radio bervisual. "Saya tidak akan memberitahu berapa jumlah pelaburan terhadap stesen radio ini tetapi saya melaburkan jutaan ringgit untuk menjayakan Peace Yall FM. "Tujuan utama adalah untuk membantu penggiat seni muzik tempatan terutamanya yang sering terpinggir dan lagu-lagu mereka yang tidak berpeluang dimainkan di radio. "Saya faham rasa kecewa itu kerasa saya turut pernah merasakan situasi tersebut," ujarnya. Tambah AC, Peace Yall FM akan memainkan lagu-lagu terbaik yang hanya memiliki klip video sahaja dan bagi yang ingin membuat klip video, pihaknya turut mempunyai produksi sendiri yang akan membantu menghasilkan klip video mereka mengikut harga-harga tertentu.