PETALING JAYA: Pelakon Tasha Shilla mendedahkan langkahnya membuang perasaan marah terhadap Hans Wong menjadi punca dia berkawan semula dengan bekas kekasihnya itu.
Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abd. Razak, 28, berkata, selepas mengambil pendekatan untuk bermuhasabah diri, dia akhirnya lembut hati untuk bersahabat semula dengan Hans selepas beberapa bulan putus cinta.
"Tidak semestinya bila sudah berpisah kita tidak boleh berkawan semula dengan bekas kekasih kerana ia merupakan perkara biasa untuk pasangan yang pernah bercinta.
"Setelah bermuhasabah diri, saya akhirnya mengambil keputusan untuk tidak berdendam dengannya kerana di dunia ini tidak baik untuk bermusuh-musuhan sesama manusia," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Tasha berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungannya bersama Hans apabila pemuda itu memuat naik gambar mereka berdua selepas menikmati makan malam bersama dengan kapsyen Dinner time with my beautiful lady who always by my side (makan malam bersama wanita cantik yang sentiasa bersama saya).
Terdahulu, pasangan berkenaan yang menjalinkan percintaan sejak 2013 dilaporkan sudah berpisah yang dikatakan berpunca daripada campur tangan pelakon Kaka Azraff.
Dalam perkembangan sama Tasha berkata, hubungannya dengan bekas kekasih itu adalah antara seorang sahabat dan tidak menolak untuk menjalinkan hubungan cinta semula sekiranya ada jodoh buat mereka berdua.
"Buat masa sekarang ini saya dan dia bersahabat baik kerana masing-masing ingin memberi fokus terhadap kerjaya masing-masing dahulu kerana kami tidak mahu terikat dengan apa-apa hubungan.
"Kerana dulu kami sudah mempunyai perancangan untuk berkahwin tetapi tidak jadi kini saya serahkan semuanya kepada Allah mengenai soal jodoh kerana itu merupakan perancangan terbaik-Nya ," jelas Tasha lagi.
Dalam pada itu, Tasha meminta agar orang ramai agar mendoakan yang terbaik untuk dirinya dan Hans.
Dalam perkembangan lain, Tasha bakal muncul dalam drama bertajuk Khilaf Seorang Isteri yang akan disiarkan menerusi slot Cerekarama pada 17 Mei depan.
Sementara itu Hans yang dihubungi bagi mengulas fotonya bersama Tasha itu enggan mengulas sebaliknya menyerahkan kepada wanita berkenaan untuk memberi pandangan.
“Saya no comment, tanyalah pada Tasha,” pintanya.