suria

Johan As'ari Tiada Niat Buruk Muat Naik Video Mengaji

Johan As'ari
PETALING JAYA: Pelakon Johan As'ari berharap videonya sedang mengaji yang dimuat naik di Instagram tidak memberi persepsi negatif kepada  masyarakat.

Johan, 29, berkata, tujuan dia berbuat demikian adalah mahu berkongsi minat dalam mengaji Al-Quran dan pada masa sama berdakwah secara tidak langsung, bukannya mahu menunjuk-nunjuk.

"Sejak sekolah rendah lagi saya dididik untuk mengaji Al-Quran dan apabila sekolah menengah, saya menghabiskan 30 juzuk setiap tahun.

"Jadi, memandangkan saya sering berkongsi foto aktiviti-aktiviti lakonan saya, apa salahnya sekali sekala saya memuat naik video aktiviti kegemaran saya iaitu mengaji Al-Quran. Benda baik, tidak salah untuk dikongsi ," katanya kepada mStar Online.

Pada Selasa, Johan telah memuat naik beberapa video dia sedang mengaji Al-Quran di akaun Instagram miliknya.

Video Johan sedang mengaji yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Ramai peminat yang memuji kelunakan suara aktor itu yang mampu mengaji dengan baik.

Namun ada juga yang memberi komen berunsur negatif kononnya Johan sengaja ingin menunjuk-nunjuk kepada umum.

Sementara itu, Johan berkata, hampir setiap hari dia melakukan rutin tersebut lebih-lebih lagi mengaji di depan ibunya Datin Firdaus Abdul Kader, 58, yang kini sedang menderita sakit kanser tulang peringkat empat.

Ibu Johan kini sedang dirawat di Institut Kanser Negara, Putrajaya sejak dua minggu lalu.

"Apabila saya menjaga ibu, saya akan pastikan untuk mengaji di depannya. Syukur Alhamdulillah, walaupun sudah 25 kali menjalani rawatan kimoterapi, semangatnya masih kuat.

"Kerana itu saya dan adik beradik akan  mengaji di depannya untuk pastikan semangatnya kuat untuk melawan sel kanser itu. Doakan ibu cepat sembuh, InsyaAllah," ujarnya.

Beritahu Johan, buat sementara waktu ini, dia hanya menerima tawaran lakonan yang membabitkan  telefilem sahaja memandangkan tempoh masa penggambaran yang dijalani tidak terlalu lama, dan ia memudahkannya untuk menjaga ibunya secara bergilir-gilir bersama adik beradiknya.
Johan As'ari

Artikel Lain