PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon Que Haidar iaitu Linda Jasmine mengakui memanjakan anak-anak terutama anak perempuannya Ratu, 5 dan Cleopatra, 3 kerana sayangkan mereka. Linda, 42, berkata, dia sering memenuhi kehendak anak-anaknya kerana sudah lama memasang impian untuk memiliki anak perempuan dan ia juga menjadi faktor utama mereka dimanjakan. “Sebenarnya memang saya manjakan mereka kerana mereka anak perempuan dan anak lelaki saya pula sudah besar. “Sebelum kahwin dengan Que, impian saya memang mahukan anak perempuan, Alhamdulillah saya dikurniakan dua anak perempuan dan mungkin sebab itu, saya selalu memenuhi kehendak mereka,” katanya kepada mStar Online. Anak perempuan Que dan Linda, Cleopatra (kiri) dan Ratu. Tambah Linda, dia tidak boleh melihat aksesori kanak-kanak dan pasti akan membeli buat anak perempuannya tanpa berfikir panjang. Katanya lagi, walaupun anak-anak dimanjakan namun dia tidak mendedahkan mereka dengan penggunaan gajet seperti telefon pintar atau komputer. “Apabila lihat saja benda yang comel dan cantik pasti saya akan beli untuk mereka berdua. “Setakat ini untuk pengunaan gajet, saya tidak benarkan dan mereka juga tahu dengan peraturan yang saya buat terhadap mereka,” katanya. Dalam perkembangan lain, Linda memberitahu dia kini masih aktif dalam bidang tarian namun tumpuan utamanya adalah menguruskan anak-anak dan aktiviti harian mereka. Katanya, anak keduanya Ratu, aktif mengikuti kelas tarian jazz serta balet dan dia tidak menghalang jika anaknya itu menyambung legasinya suatu hari nanti. Anak pertama Linda bersama suami terdahulu iaitu Qalif Khan yang kini berusia 15 tahun baru sahaja memasuki asrama penuh untuk memberi fokus kepada pelajaran. Linda dan Que Haidar berkahwin pada pada 14 Februari 2009.