suria

"Kerjaya Saya Dah Lama Berkubur Jika Bermasalah" - Syazwan Zulkifly

Syazwan menjelaskan gosip kononnya dia mempunya masalah disiplin adalah tidak benar.
PETALING JAYA: Pelakon Syazwan Zulkifly menjelaskan karier lakonannya mungkin sudah lama terkubur jika benar dia mengalami masalah disiplin seperti diperkatakan sebelum ini.

Syazwan, 28, berkata, dia keliru dengan tuduhan tersebut kerana setakat ini dia belum pernah menerima sebarang rungutan daripada pihak produksi  berhubung isu berkenaan.

Tuduhan tidak berdisiplin bukan baru diperkatakan terhadap saya tetapi disebalik itu pihak produksi masih memberikan tawaran dan tiada pula rungutan daripada mereka.

"Jika benar saya bersikap demikian barangkali karier lakonan saya sudah terkubur," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata Syazwan, dia mengaku adakalanya terlambat ke lokasi penggambaran namun menegaskan tidak pernah menyebabkan perkara itu menyusahkan pihak produksi.

"Saya bukan manusia sempurna dan ada melakukan kesilapan. Benar saya pernah terlewat ke lokasi tetapi tidaklah sampai produksi perlu menunggu saya sehingga menyebabkan penggambaran tergendala," katanya.

Dalam pada itu, Syazwan berkata, biarpun banyak cerita kurang enak tentang dirinya dilaporkan sejak akhir-akhir ini namun dia tidak terkesan kerana tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Syazwan bakal tampil dengan filem terbaharunya, Gamatisme.

Pun begitu dia bimbang dengan penerimaan keluarganya yang sering bertanyakan kebenaran gosip berkenaan.

"Saya tidak kisah apa pandangan orang terhadap saya kerana bukan mudah untuk menutup mulut mereka tetapi saya jadi risau apabila keluarga mula bertanya tentang apa yang mereka baca di akhbar.

"Tetapi mereka faham apabila saya jelaskan kedudukan sebenar dan itu sudah membuatkan saya lega," ujarnya.

Menjelaskan hubungannya dengan aktres Faye Kusyairi pula, Syazwan berkata, mereka sekadar teman biasa dan bukan seperti mana disangka sesetengah pihak.

Biarpun rapat dengan aktres tersebut sebelum ini, Syazwan memberitahu sudah lama tidak bertemu Faye kerana sibuk dengan karier masing-masing.

"Kami rapat disebabkan sama-sama berlakon dalam sebuah drama sebelum ini tetapi selepas penggambaran selesai kami pun sudah jarang berjumpa," ujarnya.

Sementara itu, Syazwan berkata, dia teruja dengan kemunculan filem terbaharunya, Gamatisme yang memperlihatkan dia membawa watak berbeza berbanding sebelum ini.

Katanya, peluang membawa watak bukan antagonis dalam karya arahan Hitler Zami itu mampu memperlihatkan sisi lain dirinya sebagai pelakon.

"Sebelum ini saya lebih banyak bawa watak antagonis tetapi dalam Gamatisme saya bawa peranan lelaki baik dan ia juga satu cabaran buat saya sebagai pelakon," ujarnya.

Gamatisme turut menampilkan barisan pelakon seperti Nabila Huda, Adeline Tsen dan Wan Elyas. Ia bakal menemui penonton dipawagam bermula Khamis ini.

Syazwan Zulkifly, Gamatisme.

Artikel Lain