PETALING JAYA: Penyanyi Alif Satar selamat menyambut kelahiran puteri sulung kira-kira pukul 9.28 pagi di Pantai Hospital Kuala Lumpur, dekat sini, pada Ahad. Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 25, berkata, isterinya Shadila Halid, 31 melahirkan bayi perempuan seberat 3.24 kilogram secara normal dan kedua-dua mereka dalam keadaan baik. "Alhamdulillah saya sangat bersyukur dan amat teruja kerana saya sendiri yang menyambut kelahiran puteri sulung saya dan memotong tali pusatnya. "Semua berjalan dengan lancar, syukur kerana isteri saya selamat melahirkan puteri sulung kami ini," katanya kepada mStar Online pada Ahad. Puteri Sulung Alif dan Shadila ini diberi nama Alisha Anugerah yang membawa maksud dilindungi oleh Tuhan. Terdahulu, pasangan ini sah bergelar suami isteri pada 15 September 2014.