PETALING JAYA: Pelakon Nora Danish menegaskan dia berhak membuat keputusan memecat pembantu peribadi yang sudah lama bekerja dengannya tanpa perlu ada pertikaian daripada mana-mana pihak.
Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 33, menerusi akaun Instagram miliknya berkata, perkara tersebut sepatutnya tidak perlu diperbesar-besarkan media kerana ia adalah satu perkara normal yang terjadi di antara majikan dan pekerja.
"Siapa yang saya berhentikan, itu hak saya sebagai majikan. Ibarat saya berhentikan pekerja di kafe saya. Takkan itu pun nak buat story (isu)?," katanya.
Menerusi ruangan pojok akhbar mingguan pada Ahad, Nora dikatakan telah menyingkir pengurus yang juga merupakan pembantu peribadinya tanpa sebarang notis.
Dalam laporan tersebut, Nora dikatakan menghentikan pembantu peribadi yang dikenali sebagai Mat melalui aplikasi Whatsapp dan melantik kekasihnya, Nedim Nazri menggantikan tempat Mat.
Sementara itu, Nora turut menganggap gosip mengatakan dia melantik kekasih sebagai pengurus adalah perkara yang tidak masuk akal.
"Berkenaan Nedim sebagai pengurus? Itu paling kelakar, dari bodyguard sekarang pengurus pula?
"Dia seorang ahli perniagaan yang dihormati, sila semak status seseorang sebelum nak tulis story (gosip) ok. Menjatuhkan reputasi seseorang dengan fakta yang tidak berasas adalah salah sama sekali.
"Malah saya tidak menerima panggilan daripada mana-mana wartawan (untuk bertanyakan mengenai gosip tersebut)," jelasnya.
Tegas Nora lagi, sepatutnya dia perlu dihubungi dahulu sebelum pihak akhbar terbabit mengeluarkan gosip tersebut.
"Cik Pang (ruangan gosip di akhbar mingguan berkenaan) lain kali telefon dulu. Nanti kena pelempang pula. Keluarga Nedim adalah golongan yang dihormati, jangan babitkan nama mereka. Harap maklum," ujarnya.