suria

Syafie Naswip Rimas Diganggu, Dikutuk Peminat

Syafie Naswip
PETALING JAYA: Sudahlah diganggu, dikutuk pula. Itulah yang dihadapi pelakon Syafie Naswip selepas dia mendedahkan satu nombor telefon menerusi laman Instagram miliknya bagi memudahkan produser dan pengarah menghubungi atas tujuan kerja.

Syafie atau nama sebenarnya Mohammad Syafie Naswip, 23, berkata, hampir setiap hari dia menerima panggilan telefon sekurang-kurangnya dua atau tiga orang yang ingin bercakap dengannya dan jika dilayan, individu berkenaan akan mengutuk dengan kata-kata kurang enak.

"Sebenarnya nombor telefon yang dipaparkan itu adalah milik adik saya Mohammad Sapawi bagi memudahkan sesiapa yang nak beri tawaran menghubungi saya. Sebaliknya lain pula yang jadi.

"Sejak saya meletakkan nombor telefon di Instagram itu, ramai yang menghubunginya untuk bercakap dengan saya. Jika mesej tersebut tidak layan, mulalah macam-macam mereka kutuk.

"Sehinggakan ada yang mengeluarkan kata-kata kesat. Tetapi ada juga yang menghantar mesej dan kemudian senyap sahaja apabila saya tidak membalas," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.

Tambah Syafie, pada mulanya dia enggan mengambil serius mengenai perkara itu memandangkan tujuan utama dia meletakkan nombor telefon adiknya adalah untuk hal berkaitan kerja sahaja.

Namun, selepas perkara itu menjadi serius, Syafie berhasrat memadam nombor telefon tersebut di laman sosial berkenaan.

"Sebelum ini, orang hanya kacau sikit-sikit sahaja dan mesej yang dihantar tidaklah terlalu teruk. Tetapi apabila dibiarkan, ia semakin menjadi-jadi pula. Lebih baik buat diam saja. Saya geram apabila mereka kata 'baru jadi artis dah nak berlagak. Bukannya famous sangat pun'. Mengapa perlu cakap begitu?," soalnya.

Ditanya adakah Syafie tidak boleh menerima kutukan dirinya kurang popular, kata pelakon filem Mukhsin ini, dia tidak kisah dengan kritikan, tetapi semakin rimas apabila sering dituduh sebegitu.

Malah kata Syafie, tujuan asalnya menjadi seorang pelakon bukan untuk meraih populariti, sebaliknya kerana minat yang mendalam dalam bidang berkenaan.

"Jujurnya, saya tak kisah orang kata saya tak popular berbanding pelakon-pelakon lain kerana tujuan asal saya adalah untuk mencari rezeki. Bukannya publisiti. Tetapi apabila orang kerap bercakap mengenai perkara itu, naik rimas saya," tuturnya.
Syafie Naswip

Artikel Lain