suria

Populariti Anak Buatkan Tomok Berwaspada

Tomok bersama isteri dan anak-anaknya.
AMPANG: Populariti yang diraih anak sulung Tomok iaitu Arrianshah Akid (Arrian), 3, membuatkan dia begitu berjaga-jaga apabila mereka berada di luar kawasan rumah.

Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 31, berkata, walaupun tidak menerima sebarang mesej berbaur ugutan, namun dia sekadar ingin memastikan keselamatan anaknya diperhatikan sebaik mungkin memandangkan kanak-kanak itu dikenali ramai.

"Memandangkan Arrian dikenali, saya dan isteri (Siti Rahayu Abas) sentiasa mengawasi setiap gerak-gerinya terutama apabila berada di pusat beli belah.

"Risau juga, sekarang ini macam-macam hal boleh berlaku. Cuma saya dan isteri sekadar ambil langkah berjaga-jaga," katanya kepada mStar Online.

Tomok

Tomok ditemui pada majlis akikah anak keduanya, Andrashah Iman (Andra) yang kini berusia tiga bulan di kediaman keluarga isterinya di Keramat di sini pada Ahad.

Arrian mula menjadi perhatian ramai apabila Tomok dan isterinya sering memuat naik foto dan video-video mengenai akviti harian kanak-kanak itu di akaun Instagram mereka.

Tomok berkata dia tiada niat mahu mendedahkan anak-anaknya di laman sosial sebaliknya foto-foto dan video yang dimuat naik itu dilakukan sekadar ingin berkongsi perkembangan terbaharu anaknya bersama para peminat.

Sementara itu, sejak kehadiran anak keduanya, Andra, Tomok berkata, tugasnya dan isteri semakin mencabar lebih-lebih lagi apabila Arrian mula berasa cemburu dengan adiknya itu.

"Biasalah budak tengah membesar biasanya mahu perhatian. Melihat gelagat Arrian, dia cemburu apabila melihat kami bersama Andra, tetapi dia sayangkan adiknya itu.

"Cuma mempunyai dua orang anak kecil sememangnya mencabar, lebih-lebih lagi apabila kedua-dua anak ini menangis serentak. Huru-hara dibuatnya. Alhamdulillah, ia satu pengalaman yang indah," ujarnya.
Tomok

Artikel Lain