KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Irma Hasmie terharu selepas melihat beberapa selebriti tempatan mula melakukan penghijrahan dengan berhijab dan menutup aurat. Irma, 33, berkata dia mengharapkan imej baru yang ditampilkan itu haruslah ikhlas agar mereka terus kekal berimej sedemikian sehingga ke akhir hayat. "Syukur Alhamdulillah ramai artis yang telah menerima hidayah daripada Allah kerana peluang itu bukan senang diberikan. "Apa yang penting, bagi terus kekal dengan imej baru tersebut kita perlu lihat pada niat. Jadikan niat penghijrahan itu untuk Allah dan bukannya untuk orang lain,” katanya kepada mStar Online. Irma ditemui pada pertunjukkan fesyen EISA oleh Ezuwan Ismail di Black Box, Publika disini pada Khamis. Irma Hasmie Terbaru pelakon Erra Fazira mengenakan tudung yang dilakukannya pada Selasa lalu mengambil peluang sempena Nisfu Syaaban. Selain itu, Irma berkata peminat juga tidak seharusnya memberi komen negatif pada artis yang berhijrah kerana seseorang yang berubah itu memerlukan sedikit masa untuk mencari keselesaan. "Apabila mereka berubah, kita perlu bersyukur dengan melihat perubahan yang mereka lakukan. "Seharusnya kita memberi dorongan dan sokongan pada mereka biarpun ada melakukan sedikit kesalahan kerana perubahan itu tidak semestinya boleh dilakukan secara mendadak,” katanya. Dalam perkembangan lain, Irma masih lagi menjadi pengacara untuk program Assalamualaikum di TV Alhijrah dan akan tampil dalam rancangan Kerja Kahwin di Astro Prima. Irma juga turut menyatakan hasrat ingin menambah cahaya mata namun dia perlu mengikut saranan doktor yang memberi tempoh masa dua tahun untuk hamil semula selepas bersalin secara pembedahan untuk dua anaknya sebelum ini. Hasil perkahwinan Irma bersama Redza Syah Azmeer Mohd Redzuan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Redza Syah Irfhan, 3, dan Irma Nur Naylie yang berusia setahun.