PETALING JAYA: Pelakon Ashraf Muslim, 34, memberitahu masyarakat masih lagi tidak berhenti mengkritik tindakannya berpoligami sehingga perkara itu menggores hati kedua-dua isterinya. Ashraf berkata, dua isterinya iaitu Noor Dayana Lokman, 28, dan Wan Sakinah Ahmad Saburi, 31, amat berkecil hati apabila pemilik media sosial iaitu netizen sering membuat perbandingan mengenai mereka berdua. "Saya anggap ini dugaan untuk saya dan isteri-isteri. Tetapi kebanyakan kritikan telah mengguriskan hati mereka. "Walaupun mereka faham suami mereka selebriti dan sudah bersedia menghadapi cabaran dan dugaan, tetapi disebabkan hati perempuan, macam mana pun mereka tetap akan sedih," katanya kepada mStar Online. Tambah pelakon dan juga penerbit drama ini, sebagai seorang suami dia akan memujuk isteri-isterinya itu supaya tidak terlalu sensitif dengan hal berkenaan. Malah Ashraf juga meminta mereka untuk tidak membaca komen-komen negatif tersebut sekiranya tidak mahu berasa sakit hati. "Kita manusia, kadang-kadang ada rasa ingin tahu. Tetapi saya sudah pesan pada mereka jangan baca. Sebab komen-komen itu buatkan mereka sedih. "Cuma sekiranya kutukan itu terlalu melampau, saya akan membalas balik komen berkenaan dengan cara yang berhemah. Itu sahaja yang mampu saya lakukan. Apa-apapun saya anggap perkara tersebut adalah dugaan hidup berpoligami," ujarnya. Ashraf bersama isteri-isteri dan anaknya. Ashraf dan Dayana mendirikan rumah tangga pada 30 Ogos 2011 di Mekah dan belum dikurniakan cahaya mata. Bagaimanapun pelakon itu pada 25 Julai 2013 membuat kejutan ramai apabila mengumumkan telah berkahwin buat kali kedua dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai 2013 di Pattalung, Selatan Thailand. Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang anak iaitu Sarah Ashraf yang berusia setahun dua bulan. Dalam pada itu, Sakinah kini sedang mengandung anak kedua. Sementara itu dalam perkembangan lain, Ashraf berkata dia kini sibuk dengan kerja-kerja belakang tabir menerusi syarikat produksi miliknya iaitu Al Hidayah Production Sdn Bhd. Terbaharu produksinya baharu saja selesai penggambaran telefilem Hari Raya Pelangi Kita bagi siaran TV Alhijrah. Dalam pada itu, bagi yang rindu melihat aksi lakonannya, Ashraf telah membintangi drama Imam Muda Dari Cairo yang akan disiarkan di RTM tidak lama lagi.