suria

Seniman Nyatakan Sokongan Kepada Pengerusi Finas

Zed Zaidi memberitahu Seniman menyokong penuh terhadap pelantikan Pengerusi Finas yang baharu, Datuk Seri Azalina Othman.

PETALING JAYA: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) melihat pendapat Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baharu iaitu Datuk Seri Azalina Othman yang akan memastikan keutamaan diberikan kepada artis tempatan berbanding luar negara dapat memartabatkan industri ke tahap lebih tinggi.

Presidennya, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi, 35, berkata, pandangan yang diutarakan oleh Azalina selaras dengan dasar Seniman dalam memperjuangkan dan meningkatkan imej artis tempatan.

"Kenyataan beliau sebelum ini yang mahu memberi ruang kepada artis tempatan berbanding artis luar sangat tepat kerana beliau mempunyai semangat kenegaraan dan patroritik yg tinggi terhadap negara.

"Segala pandangan beliau di sokong penuh Seniman kerana ia sekaligus selaras dengan dasar bagi memperjuangkan, membela dan meningkatkan imej artis malaysia ke tahap lebih tinggi," katanya.

Terdahulu, Azalina menerusi sidang media pertama sebagai Pengerusi Finas yang diadakan di Menara PNB dekat sini pada Rabu lalu berpendapat syarikat produksi tempatan tidak wajar memberi ruang kepada pelakon-pelakon luar untuk terlibat dalam produk tempatan.

Azalina Othman.

Katanya, semua penggiat seni harus memberi keutamaan kepada artis tempatan dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi dunia perfileman negara.

Dalam pada itu, Zed memberitahu, pihaknya berharap kelebihan Azalina yang merupakan bekas Menteri Pelancongan dan Menteri Belia dan Sukan diharap dapat menyelesaikan masalah industri seni tempatan ke peringkat kepimpinan tertinggi selain di dalam Dewan Rakyat.

Malah kata Zed, Seniman akan sentiasa memberi kerjasama penuh dalam mengembalikan maruah industri seni yang dilihat kian meruncing dengan pelbagai kemelut dalam membela anak seni yang secara tidak langsung turut membantu dari sudut ekonomi dan pembangunan Malaysia.

"Kerjasama Finas dan Seniman diharap dapat mengembalikan maruah industri seni yang kian meruncing dengan pelbagai masalah kebajikan peluang pekerjaan menerusi dasar-dasar kerajaan serta akta yang dapat membela nasib anak seni pada masa akan datang," ujarnya.
Seniman, Finas, Azalina Othman, Zed Zaidi.

Artikel Lain