PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM Sabah iaitu Farish Aziz berkata, informasi yang tidak tepat mengenai gempa bumi di Sabah yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial membuatkan masyarakat negeri itu panik. Farish, 31, berkata, masyarakat negeri itu berasa tidak selamat untuk keluar rumah atau melakukan sebarang aktiviti kerana risau sekiranya kejadian gempa bumi tersebut berulang lagi. "Apa yang saya lihat ramai orang suka menggunakan medium laman sosial untuk menjadi pemberi informasi yang pertama mengenai sesuatu kejadian tanpa menyelidik dahulu walaupun kebanyakan informasi itu adalah auta. "Jadi apabila pelbagai spekulasi dikeluarkan di laman sosial mengenai kejadian gempa bumi, membuatkan masyarakat panik dan risau dengan keadaan mereka yang kononnya bakal ditimpa musibah. "Lebih terkilan apabila orang ramai terus berkongsi pelbagai maklumat sejurus selepas gempa bumi dengan pelbagai versi dan spekulasi," katanya kepada mStar Online. Pada 5 Jun lalu, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala richter telah melanda Sabah khususnya di Ranau yang mengorbankan 18 nyawa serta merosakkan banyak harta benda. Farish Aziz Gempa bumi sederhana 5.1 magnitud pula direkodkan pada kedalaman 10 kilometer di Ranau pukul 2.29 pagi Sabtu lalu. Dalam pada itu, Farish yang menetap di Kota Kinabalu juga tidak terkecuali hampir mempercayai dan berasa risau apabila membaca pelbagai spekulasi yang disebarkan itu. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Farish berkata dia baru saja selesai menerbitkan sebuah drama bersama Sari Yanti, Intan Ladyana dan Tam untuk siaran Astro Ria. Kata Farish, dia juga mengambil peluang itu untuk turut berlakon bagi watak kameo untuk melepaskan rindu dengan kerja-kerja lakonan. "Penggambaran drama tersebut dijalankan di Sabah dan saya mengambil kesempatan itu melepaskan rindu untuk berlakon. "Bukannya tiada tawaran, tetapi sejak menjadi penyampai radio, sukar untuk saya beri komitmen dalam kerja-kerja lakonan. Bagaimanapun saya akan terlibat dengan sebuah program 'game show' iaitu Awak Kat Mana sebagai peserta pada Ogos ini," ujarnya.