KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Seri Umie Aida berharap kakaknya, Erma Fatima dapat mempertahankan rumah tangganya bersama pengarah, Bade Azmi dan menyelesaikan kemelut di antara mereka dengan baik. Umie atau nama sebenarnya Umie Aida Rahmad, 42, berkata, sebagai adik dia sentiasa memberikan kata-kata positif kepada Erma setiap kali dia meluahkan perasaan berhubung masalah yang sedang dihadapinya. "Erma dan Bade sudah berkahwin selama 25 tahun dan saya sentiasa beritahu kakak saya supaya pertahankan rumah tangganya. "Dia ada memberitahu masalahnya kepada saya tetapi tidak pernah sekali pun saya memberikan kata-kata negatif sebaliknya yakin ada jalan untuk menyelamatkan perkahwinan mereka," katanya kepada mStar Online. Bade dan Erma Fatima Umie ditemui pada majlis pelancaran koleksi tudung J Hijab by Umie Aida di butik Jovian, Bangsar di sini, Isnin. Terdahulu, Erma, 47, memfailkan permohonan bercerai secara baik terhadap suaminya bulan lalu di Mahkamah Rendah Gombak Timur dekat sini dan kes berkenaan telah pun disebut buat kali pertama pada 11 Jun lalu. Kes berkenaan bagaimanapun ditangguhkan pada 10 Ogos depan untuk sebutan semula selepas Bade, 51, tidak menghadirkan diri pada prosidin berkenaan. Bade dalam kenyataannya di sebuah akhbar mingguan Ahad lalu berkata dia berkahwin dengan Erma dan seorang lagi wanita iaitu Aida Abdul bukan untuk bercerai. Dalam pada itu, Umie berkata, dia yakin Erma membuat keputusan tersebut selepas berfikir semasak-masaknya dan ia bukan tindakan mudah. Ini kerana katanya, hanya Erma yang mengetahui kesakitan yang ditanggung dan sebagai adik akan menyokong apa juga keputusan dibuat itu. "Mengenali Erma sebagai kakak dia bukan seorang yang mudah buat keputusan dan akan mengambil masa berfikir sebelum menyatakan sesuatu. "Saya yakin tindakannya memfailkan permohonan cerai itu bukan sesuatu yang mudah buatnya dan pasti dia ada sebab tersendiri," katanya. Tambah Umie, dia berharap semua pihak dapat memberikan ruang kepada Erma dan Bade dalam mengharungi masa sukar tersebut dan mendoakan yang terbaik buat mereka. "Saya sendiri ada cuba membuat panggilan dan mesej tetapi tidak dijawab tetapi saya faham Erma perlukan ruang untuk dirinya," ujar Umie. Jovian (tiga dari kiri) bersama para artis dan model yang memperagakan koleksi tudung J Hijab by Umie Aida. Dalam pada itu bercakap mengenai koleksi tudung J Hijab by Umie Aida, pelakon itu berkata, pengalaman cetek dalam bidang fesyen telah membuatkan dia tertarik untuk berkolaborasi dengan Jovian Mandagie menerusi enam koleksi buat permulaan. Jelas Umie, dia dan Jovian sama-sama memberikan buah idea untuk koleksi berkenaan termasuk pemilihan fabrik, rekaan dan warna kerana ingin memastikan pembeli berpuas hati dan selesa ketika mengayakan tudung rekaan mereka. "Saya hendak buat sendiri tidak ada pengalaman dan saya fikir kolaborasi ini adalah paling baik. Dari situ juga saya dapat belajar tentang pelbagai perkara. "Saya kagum dengan Jovian kerana dalam masa kurang sebulan selepas perbincangan menerusi voice note di WhatsaApp akhirnya impian itu terlaksana dengan jayanya," ujar Umie. Tambahnya lagi, selain ia selesa dan mudah digayakan, J Hijab by Umie Aida juga direka dengan kepanjangan agar ia menutupi bahagian dada sebagaimana di syariatkan dalam Islam. "Saya memang minta Jovian untuk memanjangkan tudung berkenaan agar ia dapat menutupi dada tetapi pada masa sama masih moden dan bergaya," jelasnya. Malah kata Umie, projek tersebut bukan sahaja khusus untuk musim perayaan malah dia dan Jovian sudah merancang untuk mengeluarkan koleksi seterusnya dalam masa beberapa bulan lagi. Enam koleksi J Hijab by Umie Aida dijual pada harga di antara RM100 hingga RM450 eksklusif di semua butik Jovian Store.