suria

Ulama Indonesia Kritik Opick Berdakwah Melalui Lagu

Opick menunjukkan album dakwah terbaharunya.
PETALING JAYA: Penyanyi Indonesia yang popular dengan lagu-lagu ketuhanan iaitu Opick dikritik segelintir ulama di negara itu hanya kerana dia berdakwah menerusi muzik yang dianggap tidak sesuai dengan ajaran Islam.

Opick atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus, 41, berkata, dia sedia dikritik namun tidak sependapat dengan pandangan berkenaan kerana ajaran Islam di zaman ini boleh disampaikan melalui muzik.

"Mereka (ulama) kata berdakwah cara bersyair atau menerusi muzik bukan cara Rasulullah.

“Saya percaya Islam boleh disebarkan dengan pelbagai cara dan jujurnya, saya bukanlah terlalu berilmu tentang Islam maka saya senang dengan cara penyampaian begini.

"Lagipun malulah bila orang cakap saya ini seorang pendakwah. Saya lebih senang mengatakan saya hanya menyampaikan ajaran Islam," katanya kepada mStar Online.

Opick ditemui pada majlis pelancaran album baharu, Salam Rindu Ya Musthofa  di restoran Khadijah's Kitchen di sini pada Selasa.

Sementara itu, Opick meluahkan rasa syukur apabila ramai peminatnya memberitahu mereka berhijrah menjadi seorang Muslim yang lebih baik kerana lagu-lagu ketuhanan yang dibawakannya.

Dalam pada itu, mengenai Salam Rindu Ya Musthofa, album tersebut berjaya dijual melebihi 100,000 unit di Indonesia sejak ia dilancarkan pada 5 Jun lalu.

Kata Opick, ia merupakan album terbaik yang pernah dihasilkan lebih-lebih lagi susunan muzik yang dibuat begitu teliti.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album terbitan Tombo Ati Management itu ialah Salam Rindu Ya Musthofa, Ya Rabbibil Musthofa, Ya Rosulullah (menampilkan Hafiz Hamidun), Berdendanglah, Andai Aku, Ketemukan Dirimu, Sholatun Bissalamil Mubin, Engkau Kekasig Allah dan Tola Al Badru.

Album ini juga diedarkan oleh Arteffects International bersama Sony Music Malaysia. 

 

Opick

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan