suria

Roslan Shah Jual Samosa & Bihun Sup

Gerai Samosa dan Bihun Sup Utara Pak Arif milik penghibur Roslan Shah terletak di bazar Ramadan Bukit Indah, Ampang, Kuala Lumpur.
PETALING JAYA: Penghibur Roslan Shah mengambil keputusan untuk berniaga makanan di bazar Ramadan bukan kerana sudah tidak dipedulikan lagi sebagai artis.

Roslan, 45, sebaliknya berkata, undangan persembahan masih berjalan seperti biasa namun dia terpaksa mengehadkan kemunculannya kerana ingin memberi fokus kepada perniagaan dan komitmen menjaga ibunya di Singapura.

"Alhamdulillah tawaran itu masih ada malah keputusan membuka gerai di bazar Ramadan ini pun adalah salah satu rezeki saya.

"Sudah lama saya berhasrat untuk berniaga secara terbuka dan hasrat itu terlaksana pada tahun ini," katanya kepada mStar Online.

Roslan membuka gerai jualan di bazar Ramadan di Bukit Indah, Ampang dekat sini dan memilih samosa dan bihun sup Utara Pak Arif sebagai menu untuk dijual kepada pelanggan.

Roslan Shah menggoreng sendiri Samosa yang dijual kepada pelanggan.

Gerai tersebut beroperasi setiap hari sepanjang bulan Ramadan dari pukul 3 hingga 7 petang.

Dalam pada itu, Roslan berkata, selepas seminggu menjalankan perniagaan berkenaan dia mula berasa seronok selepas melihat sambutan pelanggan hebat terhadap gerai jualannya.

Malah kata Roslan, dia tidak berasa malu untuk mempromosikan gerainya kepada pelanggan jika dia berada di sana.

"Jika berada di gerai, saya sendiri akan buat promosi dan Alhamdulillah jualan boleh mencecah sehingga RM500 sehari," ujarnya.

Roslan memberitahu tujuan lain dia membuka gerai tersebut adalah untuk memberi peluang menjana pendapatan kepada tiga bekas pembantu yang banyak berjasa kepadanya sebelum ini.

Katanya lagi, ketiga-tiga mereka menguruskan segala-galanya mengenai gerai berkenaan sekiranya dia tidak berada di sana.

Bersama pelanggan yang membeli di makanan di gerainya. 


"Bermodalkan RM3,000 sahaja, Alhamdulillah ia semakin mendapat sambutan malah dapat memberi peluang pekerjaan kepada tiga bekas pembantu saya.

"Ini adalah cara saya untuk berkongsi rezeki dengan mereka, Insya-Allah jika ada keuntungan lebih dapatlah digunakan untuk persiapan Hari Raya bulan depan," katanya.

Tambah Roslan, dia juga bercadang untuk meneruskan perniagaan berkenaan pada bulan-bulan biasa selepas melihat sambutan hangat pelanggan.

Sementara itu, Roslan berkata, biarpun sibuk dengan persembahan dan gerai di bazar Ramadan, tanggungjawab menjaga ibunya, Mariam Karim, 78, yang sakit tua tidak pernah diabaikan.

Katanya, setiap minggu dia akan pulang ke Singapura untuk menjaga ibunya itu sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur.

"Setiap kali balik saya sendiri akan mandikan, suapkan makan, bagi makan ubat dan segala-galanya yang mampu saya lakukan.

"Ini adalah masa saya untuk membalas segala jasanya membesarkan saya selama ini dan Alhamdulillah Allah memberikan kesihatan dan rezeki kepada saya agar dapat pulang setiap minggu ke Singapura," ujarnya.

Kata Roslan, sekiranya dia tidak berada di Singapura, kakaknya akan mengambil tanggungjawab menjaga ibu mereka.
Roslan Shah

Artikel Lain