PETALING JAYA: Pelakon Erra Fazira mendapat beberapa tawaran untuk menjadi duta kepada pakaian muslimah dan tudung sejak tampil dengan imej berhijab pada awal Jun lalu. Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 41, bagaimanapun berkata, dia hanya akan mempertimbangkan tawaran menjadi jurucakap kepada produk yang sesuai dengan cita rasanya sahaja. "Sejak bertudung ini memang ada yang tawarkan saya untuk jadi duta produk, maklumlah sekarang ini peniaga lagi banyak daripada pembeli. Tetapi bagi saya, kalau saya mahu memperagakan tudung atau baju mereka mestilah sesuai dengan cita rasa dan fesyen saya sendiri. "Saya tidak mahu menggayakannya dengan keadaan terpaksa jika saya tidak gemar tentang rekaan itu," ujarnya kepada mStar Online. Erra Fazira Sementara itu, Erra berkata, dia juga belum mempunyai perancangan untuk membuka label tudungnya sendiri seperti yang dilakukan kebanyakan artis bertudung lain. Katanya, buat masa ini dia masih meneruskan perniagaan tudung yang diambil daripada peniagaan lain. "Saya buka bisnes tudung sudah lama beberapa tahun lepas lagi, tetapi perniagaan itu diusahakan oleh kawan baik saya dan saya hanya beri modal sahaja. "Kami ambil daripada peniaga lain yang dirasakan cantik dan jual semula. Saya belum lagi terfikir untuk buat tudung dengan jenama saya sendiri. Saya tidak mahu bisnes kerana terikut-ikut trend semasa," ujarnya. Dalam pada itu, Erra berkata, dia ada beberapa kali dipanggil untuk terlibat dalam program-program motivasi untuk berceramah dan berkongsi pengalaman kepada orang ramai. Katanya, ia bercakap tentang apa yang dilaluinya dalam keraya seni sehingga mengambil keputusan untuk berhijab. "Saya bercakap tentang diri saya dan pengalaman yang saya lalui hingga saya berhijap sahaja, saya tidak bercakap tentang agama atau luar bidang pengetahuan saya. "Alhamdulilah ada juga beberapa kali hadiri undangan motivasi dan semoga perkongsian saya itu dapat memberi inspirasi kepada mereka," ujarnya.