suria

Erma Fatima Kesal TV3 Batalkan Tayangan 'Pesan Dari Tuhan'

Erma Fatima
PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah drama Erma Fatima mempersoalkan kenapa telefilem terbitannya Pesan Dari Tuhan yang sepatutnya disiarkan pada slot Cereka Ahad, pada malam Ahad dibatalkan oleh pihak TV3 sedangkan ia tidak melanggar garis panduan.

Erma atau nama sebearnya Fatimah Rahmad, 47, berkata, pihak stesen televisyen itu memintanya untuk membuat lapan potongan melibatkan adegan berkaitan pemilihan ketua kampung membabitkan durasi siaran kira-kira 30 minit.

"Drama tersebut bukan kena banned  tetapi pihak TV3 meminta saya untuk memotong beberapa babak dalam telefilem tersebut yang mana saya rasa ia tidak adil bagi saya.

"Sebagai seorang pengkarya saya tidak rasa ia melanggar garis panduan dan saya tidak mahu babak itu dipotong. Jika ia dipotong jalan cerita tersebut juga akan terjejas," ujarnya kepada mStar Online di sini Isnin.

Telefilem tersebut turut dibintangi oleh Elly Suriati.


Erma berkata demikian ketika diminta mengulas apabila telefilem berjudul Pesan Dari Tuhan untuk slot Cereka Ahad dibatalkan siarannya dan diganti dengan telefilem Kembali Ramadan.

Erma berkata, dia diminta untuk membuat suntingan dan memotong babak tersebut pada minggu lalu dan tidak memenuhi permintaan TV3 kerana mahu menjaga jalan cerita telefilem berkenaan.

Bagaimanapun, Erma akur dengan perkara tersebut dan menganggap pihak stesen televisyen itu mempunyai alasan tersendiri kenapakah tindakan itu diambil.

"Saya faham mereka ada etika penyiaran yang perlu diikuti tetapi saya juga ada prinsip, jadi dalam hal ini saya reda jika ia tidak ditayangkan.

"Kalau ikutkan saya memang sangat kecewa sebab kami sudah bertungkus lumus menyiapkan drama tersebut dan hasilnya tidak dapat ditayangkan pula," ujarnya.

Telefilem itu menjalani penggambaran pada 3 Jun lalu dan dilakonkan oleh Remy Ishak, Azhan Rani, Izreen Azminda dan Elly Suriati terbitan Rumah Karya Citra.

Ia mengisahkan tentang perebutan kuasa dan harta pusaka oleh sebuah keluarga sehingga kampung mereka dilanda musibah.

Dalam pada itu pihak TV3 yang diminta mengulas isu itu akan mengeluarkan kenyataan kemudian.
Erma Fatima

Artikel Lain