suria

"Industri Muzik Belum Mati" - Norman Abdul Halim

Norman Abdul Halim. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI
PETALING JAYA: Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) iaitu Norman Abdul Halim menegaskan pendapat segelintir pihak mengenai industri muzik tempatan akan mati tidak lama lagi adalah tanggapan yang salah.

Norman berkata, penggiat muzik tempatan tidak perlu risau dengan perubahan industri yang dilihat semakin merudum, sebaliknya masih ada banyak cara lain yang membolehkan mereka terus menjana pendapatan berkarya.

"Saya tak rasa industri muzik kita akan mati. Bagi saya, pendapat itu tidak betul. Benar, penjualan muzik berbentuk fizikal (cakera padat) serta muat turut lagu sudah tidak boleh diguna pakai lagi.

"Sebaliknya kita perlu mengikut peredaran semasa di mana masyarakat kini lebih selesa dengan penggunaan muat turun berbentuk digital," katanya kepada mStar Online.

Norman diminta mengulas mengenai pendapat penyanyi Datuk Sheila Majid yang menganggap industri muzik di Malaysia tidak mendapat penghormatan yang sewajarnya dan melihat bidang itu di negara ini bakal berkubur.

Tambah Norman, menerusi laman sesawang YouTube juga, penggiat muzik mampu menambah pendapatan menerusi pengiklanan selain hanya memuat naik video bagi tujuan promosi semata-mata.

"Di YouTube sahaja kita boleh meraih pendapatan menerusi iklan. Jika kita lihat balik, mungkin cara ini dilihat kecil, tetapi perlu diingat, pulangannya makin besar. Lebih-lebih lagi apabila satu hari nanti kenderaan kita mempunyai akses internet.

"Belum lagi daripada segi jualan cenderamata selepas konsert. Jadi, tiada istilah industri kita bakal berkubur.

"Sebaliknya format cara perniagaan muzik sahaja yang berbeza. Kalau buat cara lama, kita sudah tidak relevan lagi. Bukan sahaja dalam industri muzik sahaja, tetapi juga filem," tegasnya.

Dalam pada itu, kata Norman, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) juga turut memberi peluang dengan menyediakan dana menghasilkan klip video khas buat penyanyi-penyanyi tempatan.

Norman Abdul Halim

Artikel Lain