suria

Kontroversi Bayaran Tidak Halang Penerbit Bikin Semula 'Maduku Kalut'

Para Pelakon Maduku Kalut Returns. Dari kiri Dafi, Nad Zainal, Remy Ishak, Jihan Muse dan Atoi Tohet.
KUALA LUMPUR: Isu lewat menjelaskan baki bayaran pelakon teater Maduku Kalut yang dipentaskan dua tahun lalu tidak pernah melemahkan semangat penerbitnya, Shawn Amer untuk meneruskan hajat menerbitkan semula karya berkenaan.

Shawn berkata, isu tersebut tidak disengajakan dan dek kerana itu dia tidak perlu berasa takut untuk menerbitkan semula teater berkenaan.

"Isu sebelum ini timbul kerana faktor-faktor yang tidak boleh dielakkan dan semua pelakon sudah jelas. Kerana itu saya tidak takut atau malu untuk menerbitkan semula Maduku Kalut.

"Malah saya menggunakan khidmat pelakon-pelakon yang sama seperti sebelum ini. Cuma beberapa artis yang tidak dapat terlibat bersama kerana mempunyai komitmen lain," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini tiga pelakon utama Maduku Kalut iaitu Jihan Muse, Nad Zainal dan Karl Shafek kecewa dengan Shawn yang masih belum menjelaskan baki bayaran mereka selepas hampir sebulan pementasan selesai pada 31 September 2013.

Bagaimanapun para pelakon sudah pun menerima baki bayaran masing-masing beberapa minggu selepas berita tersebut.

Antara pelakon lain yang terlibat pada pementasan itu termasuklah Izzue Islam, Sofian Bujang, Fazleena Hishamuddin dan Nazurah Hanoom.

Maduku Kalut
mengisahkan pemandu teksi, Suhaimi berkahwin dua tanpa pengetahuan isterinya. Kekalutan mula berlaku apabila Suhaimi (Izzue) mengalami kemalangan dan menghadapi masalah apabila tidak mengingati banyak perkara.

Shawn (berdiri tiga dari kanan) bersama ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (berdiri dua dari kiri) bersama barisan pelakon Maduku Kalut Returns.

Sewaktu polis mahu mendapatkan keterangan, dia tersalah memberi alamat rumah isteri keduanya kepada pihak hospital tetapi meminta pegawai polis membantunya membawa pulang ke rumah isteri pertama.

Karya tersebut merupakan adaptasi daripada karya Inggeris popular Run For Your Wife yang ditulis oleh Roy Cooney dan dipentaskan kali pertama di West End, London, England pada 1983.

Sementara itu, bagi penerbitan kedua, tajuk Maduku Kalut diubah kepada Maduku Kalut Returns dengan penampilan pelakon baharu iaitu Remy Ishak, Sherry Alhadad dan Dafi. Manakala Izzue dan Karl Shafek tidak terlibat dengan pementasan tersebut.

Kata Shawn, Maduku Kalut Returns akan dipersembahkan kepada skala yang lebih besar menggunakan pentas Panggung Sari, Istana Budaya.

"Pementasan teater pada kali ini lebih mencabar kerana melibatkan ruang yang besar dan para pelakon perlu menggunakan pentas sepenuhnya.

"Saya percaya penampilan Remy dan Sherry akan memberi kelainan dalam persembahan. Malah isi kandungan skrip juga diperincikan agar setiap penyampaian dialog mempunyai mesej kepada penonton," ujarnya.

Maduku Kalut Returns
terbitan Mask Team bakal dipentaskan pada 7, 8 dan 9 Ogos depan.

Tiket boleh dibeli secara atas talian menerusi www.airasiaredtix.com dan dijual dengan harga RM35, RM45, RM65, RM85, RM105 dan RM155 (platinum).
Maduku Kalut

Artikel Lain