KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Fazley Yaakob mendedahkan pernah menyelamatkan hampir 100 pasangan yang mahu bercerai akibat gagal menyelesaikan masalah rumah tangga yang di hadapi. Fazley, 38, berkata, kebanyakan mereka menghantar mesej peribadi menerusi laman sosial untuk berkongsi masalah dan dia kemudian merujuk hal itu kepada pakar motivasi sebelum memberi kaunseling kepada individu berkenaan. "Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana cara untuk menyelamatkan rumah tangga masing-masing. Alhamdulillah saya sudah selamatkan hampir 100 pasangan daripada bercerai. "Sebelum memberi nasihat, saya akan merujuk kepada pakar motivasi lain termasuklah mentor saya iaitu Datuk Fadzillah Kamsah. "Apa yang saya lihat, kebanyakan pasangan yang sudah berkahwin mempunyai masalah kewangan dan komunikasi," katanya kepada mStar Online. Fazley menunjukkan demo memasak kepada wakil media. Fazley ditemui pada sesi baking dan berbuka puasa bersama media di restoran miliknya, Suka Sucre Bistro di sini pada Rabu. Pada sesi tersebut, Fazley turut melancarkan album Hari Raya baru berjudul Ku Mohon Maaf Sayang. Album tersebut memuatkan sebanyak lima buah lagu termasuk juga Pesan Raya, Dendang Anak Merantau, Seribu Kemaafan dan Dendang Perantau. Kata Fazley, lagu Ku Mohon Maaf Sayang telah keudara sebulan lalu dan dia bersyukur kerana lagu tersebut mendapat perhatian ramai terutama peminat-peminatnya. "Alhamduliah, saya tidak sangka pihak radio memberi kerjasama yang sangat baik dengan memutarkan lagu raya saya. "Dan ia mendapat respons yang baik. Betul kata ayah saya, lagu raya sepatutnya berunsur keinsafan dan kemaafan di mana muziknya perlu tradisional, baru orang terima," ujarnya.