PETALING JAYA: Pelakon Aeril Zafrel mendedahkan anak sulungnya Ahmad Fakhruddin Attar yang kini berusia dua tahun mula menunjukkan sikap cemburu seolah-olah sudah faham dia bakal mendapat adik pada September depan. Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari, 27, berkata, Ahmad Fakhruddin tidak mahu berenggang dengan isterinya, aktres Wawa Zainal dan perwatakannya bertambah manja berbanding kebiasaan. "Dia tahu bakal mendapat adik baharu dan mula menunjukkan sikap cemburu biarpun adiknya perempuannya itu masih belum dilahirkan. "Wawa terpaksa melayan karenahnya kerana dia tidak boleh berenggang dengan ibu sejak akhir-akhir ini," katanya kepada mStar Online. Pasangan ini bakal menimang cahaya mata kedua. Aeril dan Wawa pernah mencetuskan kontroversi pada Oktober 2013 apabila mendedahkan mereka sudah bernikah sebanyak dua kali iaitu pada 25 Februari 2012 dan kali kedua, 4 Februari 2013. Ahmad Fakharuddin Attar dilahirkan pada 24 Ogos 2013. Dalam pada itu, Aeril berkata, sepanjang Ramadan pada tahun ini dia mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan bagi membantu Wawa menguruskan rumah tangga memandangkan isterinya itu masih mengalami alahan teruk akibat mengandung. Bagaimanapun kata Aeril, masa terluang itu juga digunakan untuk menguruskan perniagaan pakaian muslimah milik mereka iaitu WA.Clothing. "Keadaan Wawa agak lemah kerana alahan yang agak teruk dan sebab itu saya ambil keputusan untuk berehat seketika bagi membantunya. Aeril, Wawa dan anak mereka. Foto daripada Instagram Wawa Zainal. "Saya juga bertuah ibu mertua sanggup datang dari Sabah untuk membantu saya dan isteri," katanya. Bercakap tentang persediaan untuk menimang cahaya mata kedua, Aeril berkata, dia dan Wawa memilih untuk bersederhana dan hanya membeli barangan penting untuk menyambut kehadiran ahli baru dalam keluarga mereka. Malah dia juga tidak sabar untuk menanti kelahiran bayi perempuannya itu pada September nanti. "Alhamdulillah pengalaman semasa anak pertama banyak mengajar saya dan Wawa untuk yang kedua ini dan persiapan dilakukan pun hanya sederhana. "Paling penting bayi itu nanti dilahirkan dengan selamat dan sihat," katanya.