suria

Pelakon Bakal Popular Di Malaysia, Shogun Tidak Gemar Watak Aksi

Shogun Itokozu. Foto ROHAIZAT DARUS
PETALING JAYA: Pelakon kelahiran Okinawa, Jepun, Shogun Itokozu mendedahkan dia tidak gemar diberi gelaran sebagai pelakon aksi meskipun namanya melonjak menerusi filem Street Fighter: Assassin's Fist sebelum ini.

Shogun, 37, menyifatkan, menjadi seorang pelakon aksi memerlukan seseorang memiliki tubuh badan yang sasa selain perlu komited dalam latihan aksi ngeri.

"Ramai yang menganggap saya adalah seorang pelakon aksi tetapi sebenarnya tidak.

"Memang saya berlakon filem aksi tetapi saya bukanlah pakar dalam perkara itu. Ia memerlukan komitmen yang tinggi selain perlu membuat latihan aksi ngeri dan bersukan untuk mendapatkan tubuh badan tegap.

"Cuma, ketika berlakon Street Fighter, saya pernah tambahkan berat badan sebanyak 17 kilogram dan menjadi sasa. Kalau dalam filem aksi memang saya sendiri yang lakukan aksi ngeri," katanya kepada mStar Online.

Tambah Shogun, dia lebih selesa berlakon menerusi drama-drama yang ringan berbanding melibatkan aksi ngeri.

Shogun pernah membintangi filem Street Fighter:Assassin's Fist

Sementara itu, Shogun membintangi sebuah drama bersiri baharu Kutinggalkan Cinta di Okinawa (KCDO) yang akan disiarkan bermula 5 Ogos depan iaitu pada setiap Rabu, di Astro Bella saluran 133.

Menerusi drama tersebut, Shogun melakonkan watak Shun, seorang pemuda berdarah kacukan Jepun dan Melayu.

Katanya, memandangkan dia tidak pandai bertutur Bahasa Malaysia, dia akan menghafal dan memahami setiap dialog bagi menghayati wataknya itu.

"Bekerjasama dengan produksi Malaysia adalah satu pengalaman yang indah walaupun pertuturan bahasa adalah salah satu cabaran untuk kami berkomunikasi dan berdialog dalam lakonan.

"Mujurlah para pelakon memberi kerjasama yang sangat baik untuk melancarkan penggambaran," ujarnya.

Drama terbitan Double Vision itu turut dijayakan pelakon tempatan antaranya, Sharnaaz Ahmad, Didie Alias Hanis Zalikha dan Mimi Lana.

Dalam perkembangan lain, Shogun baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri popular Jepun, Death Note yang akan ditayangkan secara atas talian tidak lama lagi.

Dia juga akan kembali menyambung penggambaran sebuah filem aksi Hollywood berjudul Maxx.
Shogun Itokozu

Artikel Lain