PETALING JAYA: Pemenang trofi Pelakon Pembantu Filem Terbaik di Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011), Nadiya Nissa menyangkal tuduhan kononnya dia tidak gemar bergaul dengan rakan artis lain selain jarang meluangkan masa pada majlis-majlis hiburan. Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin, 30, berkata, dia sebenarnya tidak gemar bersosial pada acara yang tidak melibatkan dirinya kerana lebih selesa duduk di rumah menghabiskan masa bersama anaknya, Omar yang kini berusia empat tahun. "Saya mempunyai ramai kenalan artis dan dakwaan itu tidak benar kerana saya bukan seorang yang sombong tetapi memang saya tidak gemar menghadiri acara hiburan. "Masa terluang saya akan habiskan bersama anak dan suami di rumah kerana bukan mudah untuk mendapat masa berkualiti bersama mereka tambahan sering sibuk di lokasi penggambaran," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Nadiya berkata, faktor dia tidak mempunyai perkembangan terbaharu atau pun cerita sensasi turut menyebabkan dia dilihat sepi daripada industri seni. Bagaimanapun katanya, aktiviti seninya sentiasa padat malah pada tahun ini dia terlibat dalam dua buah projek filem yang sedang menjalani penggambaran. "Saya sangat teruja dengan dua filem tersebut iaitu Redha dan Interchange yang turut menampilkan Nicholas Saputra dan Shaiezy Sam sebagai pelakon dan tidak sabar untuk melihat hasil akhirnya nanti," ujarnya. Selain itu, pelakon itu juga bakal muncul dalam dua buah filem yang akan ditayangkan pada tahun ini iaitu Jejak Warriors dan Love Supermoon.