PETALING JAYA: Kumpulan muzik Oh Chentaku (OCK) dan De Fam tampil dengan lagu Hari Raya yang diadun menjadi lebih moden iaitu #SyawalSW4G. Lagu hasil inisiatif Tune Talk itu adalah bertepatan dengan misi syarikat telekomunikasi tersebut untuk menjadikan 2015 sebagai tahun inovasi dan muzik denga kehebatan vokal artis berkenaan yang berjaya meraih sokongan remaja. Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo berkata, lagu #SyawalSW4G, diharap akan menambahkan lagi kemeriahan suasana Aidilfitri yang membawakan mesej positif kepada pendengar. "Lagu ini merupakan hadiah istimewa daripada kami dan diharap ia akan menjadi inspirasi kepada para pendengar untuk memulakan langkah positif dalam hidup selain mengajak orang sekeliling melakukan kebaikan,” katanya dalam satu kenyataan kepada mStar Online di sini pada Isnin. Lagu istimewa ini juga merupakan elemen penting dalam kempen yang dilakukan Tune Talk sepanjang bulan Ramadan dengan tujuan untuk menggalakkan semua orang membina keyakinan diri agar lebih positif. Dalam pada itu gandingan dua kumpulan berkenaan dengan lirik dan rentak kontemporari akan membawakan elemen baru untuk sambutan Aidilfitri pada tahun ini dan mungkin pada tahun-tahun yang akan datang.