PETALING JAYA: Penyanyi berasal daripada Filipina iaitu Mark Adam memberitahu dia kini mencuba bakat dalam bidang lakonan apabila menerima tawaran drama bersiri Plan Cinta Tak Jadi yang akan disiarkan di Astro. Mark atau nama Islamnya Fikri Mark Adam, 36, berkata, biarpun menganggap ia sebagai cabaran besar apabila perlu bertutur dalam bahasa Malaysia, namun ia sesuatu yang baharu buat dirinya. "Saya baru terlibat dengan drama Plan Cinta Tak Jadi untuk siaran Astro, namun belum tahu bila ia akan disiarkan. Bagi saya ia adalah perkara baru dan mencabar diri saya sebagai seorang anak seni. "Memang susah berlakon dan perlu banyak belajar terutama apabila bahasa Melayu saya masih kurang fasih," ujarnya yang membawakan watak sebagai lelaki kasanova dalam drama komedi tersebut. Mark berkata, ia merupakan drama kedua selepas Haji Rock yang pernah dilakonkannya awal tahun lalu untuk siaran RTM. Dia menerima tawaran tersebut berikutan skrip dan jalan cerita menarik perhatiannya. "Ini pengalaman kedua saya kerana sebelum ini saya pernah pegang watak utama dalam drama Haji Rock untuk RTM tapi drama itu belum ditayangkan lagi," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Mark kini bersedia untuk memberi lagu ciptaannya kepada penyanyi-penyanyi tempatan yang berminat. Katanya, setiap lagu yang dicipta perlu bersesuaian dengan artis yang akan menyanyikannya. "Ramai artis yang minta lagu dan sekarang saya bersama DJ Fuzz dalam proses untuk mempersiapkannya. Setakat ini saya tidak boleh beritahu siapa yang akan menyanyikan lagu-lagu itu. "Biasanya sebelum saya buat sesebuah lagu, saya akan jumpa dan bertanya kepada penyanyi itu tentang apa yang mereka mahu nyanyikan. "Pada saya sesebuah lagu yang baik perlu sesuai dengan suara dan penampilan seseorang artis itu," ujarnya.