suria

Yazer Terpaksa Beralih Arah Jika Lagu Tiada Sambutan

Yazer
PETALING JAYA: Penyanyi Yazer merancang mahu memberi fokus terhadap kerja-kerja penghasilan lagu sekiranya dia masih lagi gagal mendapat perhatian ramai menerusi single baru yang masih dalam pembikinan itu.

Yazer atau nama sebenarnya Mohd Yazer Yusof, 33, selepas hampir sepuluh tahun terlibat dengan industri seni dan masih belum dapat berdiri kukuh sebagai penyanyi, dia ingin memberi peluang terakhir pada diri sendiri sebelum memutuskan untuk beralih arah.

"Apa yang saya rasa, setakat ini saya tiada lagu yang benar-benar hit sehingga membuka telinga pendengar. Sekarang ini saya merancang untuk menyiapkan sebuah lagu baru dan sekiranya masih gagal, saya akan beralih kepada kerja-kerja di belakang tabir pula.

"Bukan kerana kecewa. Masih di bidang sama, cuma beralih sedikit sahaja hala tujunya.

"Tetapi saya tetap bersyukur kerana orang masih lagi mengenali saya dan kesempatan itu saya gunakan untuk kerja-kerja seni muzik," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, kata Yazer, mengenangkan kembali kegigihannya berhempas pulas cuba mengukuhkan kerjaya nyanyian sepanjang 10 tahun dalam industri, dia tidak pernah menganggap masanya terbuang begitu sahaja.

Sebaliknya dia merasakan pengalaman menempuh susah dan senang sebagai seorang anak seni memberi kematangan dalam diri selain dapat melihat persekitaran dengan fikiran yang lebih terbuka.

"Perjalanan yang perlahan sebagai anak seni sepanjang 10 tahun itu bukannya kosong semata-mata.

"Banyak pengalaman dan pengajaran saya dapat dalam menjadi seorang penggiat seni yang lebih matang. Mungkin tuah saya belum sampai, tetapi saya tidak akan berputus asa dan akan berusaha sehingga berjaya," ujarnya.

Yazer

Artikel Berikut

Artikel Lain