PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Erra Fazira akan lebih sensitif dan peka terhadap penampilan baharunya agar tidak mengudang rasa kurang senang masyarakat. Malah, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik, 41, berkata, dia juga bersedia menerima teguran dan pendapat positif masyarakat terhadap cara pemakaian selepas berhijab. "Saya sudah lali dengan kritikan dan sentiasa bersedia menerima teguran dan pendapat terhadap pemakaian dan imej baru saya ini. "Namun, saya harap biarlah kritikan itu diluah dengan cara lebih berhemah dan tidak keterlaluan sehingga mampu menjatuhkan air muka," ujarnya kepada mStar Online. Sementara itu, Erra berkata, dia dalam proses untuk memberikan pakaian lama kepada rakan-rakan yang berminat. Dalam pada itu, bercerita persediaan menyambut Aidilfitri, Erra sudah menyediakan dua pasang baju kurung untuk anaknya Aleesya. Namun pada Hari Raya pertama kali ini, Aleesya akan menyambut bersama bapanya, Engku Emran terlebih dahulu. "Saya beraya di Kuala Lumpur sahaja kerana Aleesya kali ini beraya bersama bapanya. Lagi pula tahun ini merupakan pertama kali saya beraya tanpa nenek yang baru meninggal dunia. "Insya-Allah saya akan balik juga ke kampung beberapa hari selepas raya nanti," ujarnya.