PETALING JAYA: Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini bakal menjadi sejarah buat Amelina kerana dia bakal meraikan bersama ibunya, Hasmah Ramli selepas 15 tahun tidak berbuat demikian. Amelina atau nama sebenarnya, Nurazlina Amir Sharifuddin, 40, berkata, ia akan menjadi Syawal terbaik buat dirinya bersama ahli keluarga yang lain selain merindui saat-saat berhari raya bersama mereka. "Alhamdulillah banyak perkara baik yang berlaku dalam hidup saya sejak kebelakangan ini dan paling istimewa saya dapat berhari raya dengan ibu dan adik-beradik. "Sukar saya gambarkan perasaan itu tetapi sebagai anak saya berasa sayu dan akan mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf dan menghabiskan masa bersama keluarga," katanya kepada mStar Online. Terdahulu, Amelina menghilangkan diri selepas berkahwin dengan seorang ahli perniagaan iaitu Reduan Mahmood pada 26 Mei 1999 dan mencetuskan kontroversi kerana ia tidak diketahui oleh ibu bapanya. Sejak itu penyanyi tersebut menghilangkan diri daripada industri hiburan dan kelibatnya dilihat ketika upacara pengebumian bapanya yang meninggal dunia akibat sakit jantung, di Kampung Lambar, Labu Negeri Sembilan pada Februari 2009. Amelina pada tahun lalu mengumumkan kembali aktif dalam dunia hiburan dan bakal muncul dengan single terbaharu. Amelina kembali ke persada muzik pada tahun lalu. Amelina mengakui berasa sedih apabila tidak dapat berhari raya dengan bapanya sebelum ini namun sentiasa mengingati memori bersama Allahyarham. Dalam pada itu, Amelina berkata, ibunya tidak membenarkan dia memasak sempena Syawal tahun ini kerana ibu dia sendiri ingin menyediakan juadah istimewa. "Saya hendak memasak juadah tahun ini tetapi ibu tidak benarkan kerana dia ingin masak semua makanan kegemaran saya pada hari raya," ujarnya. Sementara itu, bercakap tentang persiapan anak-anaknya, Amelina berkata, dia bertuah kerana mereka bukan jenis meminta atau cerewet. Pun begitu dia akan memastikan mereka mendapat pakaian dan kasut baharu.