suria

Remy Ishak Ada Jawapan Ditanya Soal Kahwin

PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak mengakui sudah lali dengan pertanyaan soal jodoh dan rumah tangga setiap kali berjumpa sanak saudara pada Hari Raya Aidilfitri.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 33, berkata, kebiasaannya dia akan menjawab soalan tersebut dengan meminta mereka menyediakan calon untuk dirinya.

"Soalan itu memang sudah biasa terutama apabila ramai-ramai berkumpul, bila orang tanya begitu saya akan tanya kembali sama ada mereka ada calon untuk saya atau tidak.

Tahun ini, nampaknya saya akan beri jawapan yang sama selagi belum berkahwin," ujarnya kepada mStar Online.

Walaupun Remy sudah mengesahkan mempunyai hubungan istimewa dengan Pengarah Urusan Roistz Labels, Roszaliza Yusof, namun dia memberitahu belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

Remy dan wanita tersebut masih lagi dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing.

"Saya masih lagi dalam proses berkawan dan pada saya selagi seseorang itu belum menjadi isteri atau tunang kita, dia masih seorang kawan.

"Untuk menjadi seorang suami dan memikul tanggungjawab perlu masa dan persediaan yang secukupnya," kata Remy.

Sementara itu, bercerita tentang Aidilfitri, Remy berkata, dia akan beraya di kampung halamannya di Melaka.

Bagaimanapun, dia akan membawa keluarga beraya di rumahnya di Kuala Lumpur pada Hari Raya kedua.

"Tahun ini saya mahu beraya bersama kawan-kawan kerana setiap tahun mereka sahaja yang datang rumah saya.

"Tapi saya tidak dapat bercuti lama kerana seminggu selepas raya sudah mula penggambaran drama," katanya.

Remy Ishak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain