PETALING JAYA: Pelakon Azwan Kombos mendedahkan ingin membina badannya menjadi lebih berotot, bagi mengikut trend zaman kini di mana lelaki 'sado' mendapat pilihan penerbit dalam sesebuah lakonan. Azwan berkata, walaupun sukar untuk mendapatkan tubuh badan sebegitu, namun dia sanggup mengambil cabaran demi menambah baik kerjaya seni selain mengasah bakat lakonan. "Saya tengok, pelakon berbadan sasa akan menjadi pilihan penerbit memandangkan aktor-aktor seperti itu diminati penonton. "Jadi saya mengambil cabaran itu untuk mendapatkan badan 'sado'. Kalau pelakon-pelakon lain termasuklah Nabil Ahmad boleh mengubh badan mereka, mengapa tidak saya?" katanya kepada mStar Online. Tambah Azwan, dia kini telah pun mendaftar masuk di sebuah pusat latihan senaman dan masih lagi berusaha untuk mengubah penampilannya itu. Malah dia hampir gagal dan berputus asa untuk melakukannya, namun demi mengukuhkan kerjaya, Azwan menolak tepi perasaan negatif itu. "Betul orang kata, no pain no gain. Bukan senang untuk dapatkan badan sasa. Ia memerlukan komitmen dan disiplin yang sangat tinggi. "Saya selalu memberi motivasi pada diri agar terus berusaha dengan apa yang diinginkan. Saya akan cakap pada diri lihatlah kamu di skrin televisyen, nampak lembik dan kurang bermaya," katanya.