PETALING JAYA: Penyanyi lagu Rindukanlah iaitu Encik Mimpi tidak akan mengambil risiko untuk menghasilkan album penuh kerana menganggap ia merugikan. Encik Mimpi atau nama sebenarnya Mohd Azam Zamri, 27, berkata, sebagai seorang penyanyi dan komposer dia perlu rasional dan bersikap realistik terhadap keadaan pasaran yang mengalami kesuraman sejak beberapa tahun kebelakangan ini. "Penyanyi yang memenangi anugerah pun tidak berani untuk tampil dengan album penuh apatah lagi saya yang masih baharu dalam bidang ini. "Realitinya adalah zaman sudah berubah di mana peminat tidak lagi mahu membeli album fizikal dan lebih tertumpu kepada pembelian single secara digital," katanya kepada mStar Online. Malah kata Encik Mimpi isu cetak rompak dan muat turun secara haram di Internet turut menyumbang kepada kelembapan penjualan album pada hari ini. Dalam pada itu, Encik Mimpi berkata, dia mungkin mengeluarkan album sekiranya benar-benar mendapat permintaan daripada peminat. "Jika tidak pun saya akan keluarkan album kompilasi yang menghimpunkan semua single yang telah dilancarkan untuk peminat," katanya. Dia juga bersyukur biarpun tidak mempunyai album tetapi undangan nyanyian diterimanya tetap banyak terutamanya di hujung minggu. Dalam perkembangan lain, Encik Mimpi berkata, dia bakal melancarkan single keempatnya selepas Hari Raya Aidilfitri dan berharap ia akan mendapat sambutan peminat.