PETALING JAYA: Penyanyi Nieyl (Mentor) memberitahu dia terpaksa mengawal pemakanan selepas dikesan menghidap ketumbuhan pada bahagian payudara dan rahim beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, Nieyl atau Nuriylia Jailani, 31, berkata, doktor sudah mengesahkan bahawa ketumbuhan tersebut bukanlah kanser, sebaliknya bonjolan biasa yang boleh dirawat. "Saya tidak boleh makanan seperti ayam, ikan sardin, soya dan beberapa makanan lain yang boleh mengalakkan pertumbuhan kanser kerana risiko untuk mendapat kanser cerah. "Setakat ini doktor beritahu ketumbuhan ini tidak bahaya dan jauh daripada kanser, ia masih boleh dirawat lagi," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Nieyl, ketumbuhan tersebut tidak menyakitkan, namun boleh membesar jika dia mengambil makanan yang dilarang oleh doktor. Sementara itu, tambah wanita ini, dia juga tidak digalakkan untuk membuang bonjolan itu menerusi pembedahan kerana risiko untuk penyakit itu tumbuh kembali lebih tinggi. "Ia tidaklah sakit dan tidak menganggu aktiviti harian saya, tetapi kalau saya makan ayam, saya akan rasa sendiri ia membengkak. "Saya ada juga bertanya doktor sama ada perlu atau tidak untuk buat pembedahan membuangnya, doktor menasihatkan lebih baik untuk buat rawatan dari luar kerana jika dibuang ia akan tumbuh semula," ujarnya. Dalam pada itu, Nieyl menasihatkan agar kaum wanita lebih perihatin dan sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan agar tidak terlambat mengetahui tentang tahap kesihatan masing-masing. Dalam perkembangan lain, Nieyl berkata, dia kini sibuk mempromosikan lagu terbaharunya bersama Sabhi Sadhi berjudul Kisah Kita. Lagu itu merupakan single terbaharunya selepas tiga tahun menyepikan diri dari industri seni tanah air. "Tiga tahun saya tiada single baharu, kesempatan itu juga saya ambil untuk beri perhatian kepada keluarga dan anak Damia Dazma Shah yang kini sudah berusia enam tahun. "Alhamdulillah, lagu Kisah Kita semakin diminati dan sudah mencecah sejuta penonton di YouTube. Sekarang saya sedang mencari bahan untuk single akan datang pula," katanya. Selain itu juga, Nieyl juga aktif dengan perniagaan tudung jenamanya sendiri Just Nieyl yang boleh didapati secara atas talian dan di bazar-bazar tertentu. Nieyl merupakan naib juara rancangan Mentor musim kedua terbitan TV3 pada 2006.