suria

Uqasha Senrose & Rani Kulup Warnai 'Super Spontan' Musim Keempat

Uqasha Senrose

PETALING JAYA: Pelakon Uqasha Senrose dipilih antara barisan pemain utama yang akan bersaing di pentas Super Spontan All Stars musim keempat bersama beberapa pelawak lain yang bakal bermula pada 28 Ogos ini.

Ketua Pengisian dan Saluran Komedi Astro, Bob Azrai berkata, pemilihan aktres tersebut adalah berdasarkan prestasi cemerlangnya sebagai tetamu undangan pada program separuh akhir musim lalu.

"Kita akui sukar untuk mencari peserta wanita dan ramai takut untuk menyertainya kerana ia melibatkan permainan secara spontan.

"Bila kami lihat Uqasha mampu untuk bermain dengan baik, kami cuba bertanya sama ada dia ingin terlibat atau tidak. Dia bersetuju untuk cuba bersaing pada musim ini," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media program Super Spontan musim keempat di Talent Lounge, di sini, Selasa.

Program Super Spontan All Stars bakal bersiaran secara langsung dari Studio Visual Three, Bukit Serdang, dekat sini, pada setiap Jumaat pukul 10 malam.

Artis dan tenaga produksi yang terlibat dalam Super Spontan All Stars
Selain Uqasha, seramai 13 pelawak dan pengacara televisyen lain turut terlibat iaitu Johan, Zizan Razak, Pak Yus, Tauke, Rahim R2, Shahrol Shiro, Ajak Shiro, Along Cham, Achey, Abam, Jihan Musa, Yasmin Hani dan Nana Mahzan.

Sementara itu, Presiden  Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah bakal menjadi tetamu khas pada malam pembukaan program itu.

Rani juga bakal muncul dalam beberapa episod yang bersesuaian bagi memeriahkan program pada musim ini.

"Kita panggil Rani Kulup sebagai tetamu kerana musim ini kita memakai slogan dan semangat dia sebagai nama kumpulan iaitu Kungfu Kipidap dan Silat Dongibab.

"Dia juga akan muncul pada malam pembukaan dan beberapa episod yang istimewa bagi memeriahkan pertandingan itu nanti," ujarnya.

Program yang bakal bersiaran selama 10 minggu ini turut menampilkan Datuk AC Mizal sebagai pengacara, manakala Reza Zainal dan Rashid Salleh sebagai pengurus kumpulan.

Sementara Afdlin Shauki sebagai pengulas dan Amir Raja Lawak menjadi pengulas iringan.

Dalam pada itu, program yang mengekalkan format pemarkahan yang sama iaitu diadili berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penonton dan menerusi laman web rasmi www.superspontan.com.my

Juara Super Spontan All Stars akan membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000. Manakala naib juara dan pemenang tempat ketiga akan memenangi RM75,000 dan RM50,000.

Sementara tempat keempat, kelima dan keenam turut membawa pulang RM20,000, RM10,000, dan RM5,000.

Super Spontan All Stars akan bersiaran pada setiap Jumaat, pukul 10 malam secara eksklusif di Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Rani Kulup, Uqasha Senrose

Artikel Lain