PETALING JAYA: Pelakon baharu yang dikaitkan dengan aktor Fizz Fairuz iaitu Fara Mendoza memberi amaran kepada pemilik blog hiburan di negara ini agar tidak menyebarkan gambar-gambarnya dengan tujuan mencari silap selain menduhnya sebagai wanita murahan. Fara Mendoza, 25, berkata, foto-foto kehidupan peribadinya itu tiada kaitan dengan kontroversi yang terjadi antara dia dengan Fizz Fairuz. "Gambar-gambar yang disebarkan itu adalah gambar lama saya, tipulah kalau kata saya tidak pergi tempat-tempat hiburan kerana saya seperti orang lain juga yang pernah melakukan kesilapan. Antara gambar yang tersebar di blog hiburan. "Namun kalau menuduh saya sebagai bohsia atau gadis liar itu sudah keterlaluan kerana saya masih tahu batas-batasnya. Lagi pula gambar-gambar yang disebarkan itu gambar saya bersama kawan perempuan dan bukannya lelaki. "Pada saya gambar itu tiada kaitan dengan isu Fizz Fairuz itu," ujarnya ketika dihubungi mstar Online di sini pada Khamis. Fara diminta mengulas tentang penyebaran foto-fotonya di laman-laman blog hiburan dengan menggambarkan kehidupan peribadi dia sebagai seorang yang tidak bermoral. Sebelum ini Fara mencetuskan kontroversi selepas mendedahkan dia digoda oleh pelakon Fizz Fairuz menerusi aplikasi sosial WeChat. Fizz dilaporkan sanggup mengumpannya dengan beg berjenama atas tujuan untuk memikat. Bagaimanapun isu tersebut dinafikan oleh Fizz yang mendakwa tidak pernah mengenali siapakah Fara Mendoza. Dalam pada itu ditanya tentang tuduhan dan komen netizen dia sengaja melayan mesej Fizz Fairuz, Fara menyifatkan mereka yang berkata demikian tidak mengetahui perkara sebenar. Fizz Fairuz "Saya malas nak baca komen orang ramai di internet kerana hanya akan menyakitkan hati sahaja, biarlah mereka nak cakap apa pasal saya. Mereka pun tidak tahu perkara sebenar yang terjadi. "Cukuplah cari kesalahan saya dan jangan menilai saya menerusi gambar-gambar yang tersebar kerana ia sangat keterlaluan," katanya. Jelas Fara, dia tidak mahu memikirkan kontroversi yang berlaku dan mahu meneruskan kehidupan seperti biasa serta fokus terhadap kerjaya lakonan yang baru dibina.