suria

Pelakon Remaja Aliff Firdaus Gugup Berhadapan Dengan 'The Red Warriors'

Aliff Firdaus

PETALING JAYA: Pelakon remaja Aliff Firdaus mengakui gugup ketika menjalani beberapa babak bersama pemain bolasepak pasukan Kelantan dalam filem terbaharu berjudul Jejak Warriors yang bakal ditayangkan pada 27 Ogos ini.

Aliff atau nama sebenarnya Muhammad Aliff Firdaus Rosdi, 14, berkata, ini disebabkan dia merupakan salah seorang penyokong tegar pasukan bola sepak negeri itu.

"Ia merupakan kali pertama saya bersemuka dengan mereka kerana selalu hanya dapat melihat mereka di padang atau di kaca televisyen sahaja.

"Ada beberapa babak saya berlakon bersama mereka dan ketika itu memang tergamam dan gugup, nasib baik juga mereka pun tidak berapa pandai berlakon, jadi kami sama-sama belajar," ujarnya kepada mStar Online.

Aliff ditemui dalam satu sesi fotografi yang diadakan di Menara Star bagi mempromosikan filem tersebut.

Barisan pemain yang bakal terlibat daalm filem Jejak Warriors.

Antara pemain yang turut terlibat dalam filem ini ialah Khairul Fahmi Che Mat, Wan Zack Haikal Wan Nor, Mohd Fitri Omar, Ahmad Fakri Saarani dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Selain itu, filem tersebut turut dibintangi oleh Pekin Ibrahim, Nadiya Nissa, Amir Raja Lawak, Radhi Khalid, Bell Ngasri, Sabri Yunus dan Fauziah Ahmad Daud.

Aliff bakal membawakan watak utama iaitu Wan Raja yang merupakan anak kepada Wan Hassan lakonan Pekin Ibrahim.

Dalam pada itu, katanya, dia turut teruja apabila pertama kali digandingkan dengan pelakon-pelakon popular tanah air.

"Walau pun saya masih baru dan agak gementar apabila digandingkan dengan pelakon ternama, namun mereka banyak mengajar saya cara yang betul.

"Mereka tidak kedekut ilmu dan sentiasa bertanya sama ada saya boleh lakukan atau tidak," katanya.

Bercerita tentang penglibatannya dalam dunia seni, Aliff berkata, bakatnya dicungkil oleh pelakon dan pengarah Sabri Yunus menerusi telefilem berjudul Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman.

Katanya, kemudian dia mula menerima tawaran lakonan beberapa telefilem antaranya Nasi Kukus dan Anak Hero.

"Sabri Yunus nampak bakat saya pada tahun 2011 ketika itu saya berumur 10 tahun dan dia tawarkan saya berlakon dalam telefilem berjudul Hari-Hari Seorang Seniman.

"Sehingga kini saya sudah berlakon lima buah telefilem dan nama saya telah dicadangkan oleh Sabri Yunus untuk terlibat dalam filem ini. Selepas hadiri ujibakat barulah saya dipanggil," ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang pengalamannya selama tiga minggu menjalani penggambaran, dia mengalami kekurangan tidur disebabkan masa penggambaran yang dilakukan pada malam hari.

"Penggambaran dilakukan pada bulan Ramadan tahun lalu dan kebanyakan babak dilakukan pada malam hari. Jadi, pada sebelah malam sampai selepas sahur baru habis. Masa tidur saya waktu itu agak terbalik sebab siang baru dapat tidur," katanya.

Jejak Warriors
berkisarkan tentang pengembaraan seorang remaja  yang bernama Wan Raja untuk bertemu dengan pasukan bola sepak The Red Warriors. Selain Wan Raja, arwah bapanya juga merupakan salah seorang penyokong nombor satu pasukan bola sepak The Red Warriors sehinggalah berlaku kemalangan yang mengubah cara hidup keluarganya.

Filem Jejak Warriors  arahan Saw Teong Hin bakal ditayangkan pada 27 Ogos ini di seluruh pawagam tanah air.

Red Warriors, Aliff Firdaus

Artikel Lain