suria

Pelakon Nazrief Nazri Akui Kesilapan Gayakan Pakaian Dalam

Nazrief Nazri

PETALING JAYA: Pelakon baharu, Nazrief Nazri mengakui menyedari kesilapannya apabila menuruti permintaan penganjur sebuah acara peragaan fesyen bagi mengayakan koleksi pakaian dalam.

Bagaimanapun, Nazrief atau nama sebenarnya Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 24, berkata, tindakan tersebut dilakukan dalam keadaan terpaksa kerana enggan merosakkan majlis yang sedang berlangsung.

"Sejujurnya, saya mengakui bahawa gambar tersebut adalah gambar saya sekitar tiga tahun lalu sebelum menceburkan diri dalam bidang seni. Saya menaiki bas dari Lumut ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menerima tawaran itu dan setibanya di lokasi, saya sangat terkejut apabila pihak pengurusan acara mahu saya menggayakan koleksi pakaian dalam lelaki.

"Dalam waktu sama, saya tidak mahu merosakkan majlis itu dan bertekad ini adalah acara pertama dan terakhir yang saya lakukan," ujarnya kepada mStar Online.

Nazrief berkata demikian ketika diminta mengulas tentang beberapa foto miliknya dengan menggayakan pakaian dalam di sebuah acara peragaan fesyen tersebar di laman sosial.

Salah satu gambar Nazrief yang tersebar di laman sosial.

Nazrief pernah membintangi drama Suami Sebelah Rumah, Cinta Ibadah, Tanah Kubur, Misiku Kuza 2, dan Maskara.

Dalam pada itu, dia turut mengakui terlalu mentah ketika menerima tawaran tersebut dan tidak berfikir panjang tentang kesan pada masa depan dan kerjayanya.

Katanya, dia yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Uprising Entertainment lebih berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran peragaan yang tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.

"Saya akui ketika itu masih mentah dan tidak tahu selok belok dalam industri sehingga menuruti sahaja permintaan mereka biarpun berasa sangat tidak berpuas hati.

"Ia juga peringatan kepada bakat-bakat baru yang ingin menceburkan diri dalam bidang seni supaya meneliti sebarang tawaran di mana tidak bercanggah dengan sensitiviti orang Timur dan masyarakat di Malaysia serta agama Islam khususnya," ujarnya.

Sementara itu, Nazrief berharap berita tersebut tidak terus disensasikan dan memberi peluang kepadanya untuk membuktikan bakat sebenarnya dalam bidang lakonan.

"Saya berharap agar peminat memberi peluang kepada saya untuk menilai dan berkongsi bakat lakonan saya berbanding cerita sensasi seperti ini," ujarnya.

Nazrief Nazri

Artikel Lain