KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berhasrat memberi kepercayaan kepada wartawan hiburan untuk menganjurkan Festival Filem Malaysia (FFM) pada masa hadapan selepas kecewa dengan persatuan seni negara yang banyak masalah. Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman berkata, langkah itu dilihat lebih berkesan agar segala keputusan menjadi neutral tanpa ada mana-mana pihak menyalahkan antara satu sama lain. "Dulu bila saya nak serahkan (penganjuran) FFM kepada persatuan seni, ada pula persatuan seni lain tak setuju. Bila nak suruh semua melibatkan diri, ada saja yang tak kena. "Saya fikir, adalah lebih baik festival ini dikembalikan kepada penganjur asal iaitu persatuan wartawan hiburan,” katanya kepada mStar Online selepas malam perasmian FFM 27 di Symphony Lake View, KLCC di sini pada Rabu lalu. Kamil diminta mengulas mengenai ketidakpuasan Persatuan Sudtradara Malaysia (FDAM) terhadap penganjuran FFM 27 kali ini apabila lapan pengarah dalam kategori filem terbaik dan pengarah terbaik bukan ahli persatuan itu. Mengikut syaratnya, setiap karya dan indivdiu yang dicalonkan dalam FFM hendaklah menjadi ahli FDAM ataupun ahli persatuan seni. Untuk rekod, FFM pertama yang dianjurkan pada tahun 1980 adalah hasil inisiatif Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) yang kini dikenali sebagai Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM). Namun penganjuran itu tidak dapat diteruskan oleh EJA kerana kekangan kewangan dan masa menyebabkan ia diserahkan kepada Finas untuk melaksanakannya. Datuk Kamil Othman Sementara itu mengenai perkembangan berkaitan Kamil berkata, pihaknya kesal kerana tidak mendapat sokongan yang baik daripada persatuan seni sebaliknya dilempar dengan pelbagai tuduhan. “Saya tengok lagi banyak Finas melibatkan diri dalam benda-benda macam ni, kita dituduh macam-macam. Kita buat semua ni bukan nak sakitkan hati sesiapa sebaliknya mahu membangunkan industri,” tegurnya. Dalam pada itu ditanya mengenai rungutan FDAM berhubung isu pencalonan lapan indivdiu dalam FFM 27 itu Kamil berkata, pihaknya sudah memberi surat jawapan kepada persatuan berhubung masalah yang dibangkitkan. Beliau berpendapat, jika seseorang itu sudah mendapat Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), ia sudah memenuhi kriteria yang disyaratkan oleh FDAM seperti yang pernah berlaku pada masa lalu. Bagaimanapun pihak Finas akan membuat kajian semula berhubung isu berkenaan sama ada seseorang itu layak disenaraikan dalam FFM jika menyertai mana-mana persatuan seni yang ada selain akan melakukan post-mortem berhubung FFM 27 selepas acara itu selesai. "Saya akan tengok balik apa-apa perkara yang tak kena, bagaimana kita nak atasinya. Saya juga nak kaji juga kenapa persatuan seni itu wujud selain mahu berbincang mengenai peranan yang boleh dimainkan mereka. Jika ada tak puas hati, boleh bawa berbincang, tak payah masuk FB (Facebook)," sindirnya. Mengenai promosi FFM 27, Kamil berpuas hati dengan liputan diberikan pihak media dalam usaha merancakkan lagi anugerah itu. Ia bukan sahaja melibatkan saluran media cetak dan portal berita sebaliknya kerjasama stesen-stesen penyiaran tempatan. FFM 27 bakal berlangsung pada Sabtu ini di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Ia akan disiarkan pada pukul 8.30 malam menerusi saluran Astro Ria.