Sarah atau nama sebenarnya Maishara Fazny Mahadzir, 20, berkata, dia melihat peluangnya untuk dikenali agak cerah lebih-lebih lagi mempunyai single lagu baru iaitu Tak Mungkin, yang dihasilkan daripada komposer hebat, Ammar Habir dan penulis lirik Iman Imran.
"Selain penyanyi-penyanyi senior yang sedia popular, saya lihat belum ada penyanyi wanita baru yang mempunyai lagu yang kuat.
"Jadi saya ambil peluang ini untuk perkenalkan lagu Tak Mungkin. Mana tahu, ia menjadi perhatian peminat-peminat muzik tempatan," katanya kepada mStar Online.
Sarah ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya bersama Sandra dan Aina di pusat karaoke Redbox, The Gardens di sini pada Khamis.
"Diakui kami sedikit lambat muncul dengan lagu baru selepas tamat program Mentor. Tetapi tidak mengapa, biar lambat, asalkan lagu yang dihasilkan bagus dan disukai ramai.
"Saya harap lagu saya, Ini Yang Kau Mahu memberikan nafas berbeza berbanding lagu-lagu lain," ujarnya.
Sementara itu Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria, 21, pula berkata, lagunya iaitu Hey Kau yang dihasilkan oleh Tam Spider dan Iman Imran telah pun disiarkan di radio sejak Julai lalu dan mendapat carta tertinggi di beberapa buah radio.
"Alhamdulillah syukur, saya tak sangka lagu itu mampu menarik perhatian ramai meskipun ia belum dilancarkan.
"Jadi saya mengambil peluang itu untuk muncul dengan lagu single seterusnya dan kali ini saya yang akan mencipta lagu tersebut sepenuhnya," kata Sandra.