PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Sasha Saidin bertindak menuntut hak penjagaan kekal terhadap anak lelakinya daripada Salyo Priyanto bukan kerana mempunyai masalah dengan bekas suaminya itu. Sasha, 39, sebaliknya berkata, tuntutan itu dibuat untuk kepentingan Adam Aryasenna Notosoemarsono yang kini berusia enam tahun bagi memudahkan urusan dokumentasi memandangkan bekas suaminya kembali menetap di Indonesia. "Bekas suami memang memberi hak penjagaan anak kepada saya tetapi kami tidak pernah memfailkan perkara itu di mahkamah syariah. "Bagaimanapun masalah mula timbul tahun lalu ketika saya ingin memperbaharui pasport antarabangsanya yang memerlukan tanda tangan ibu bapa selain saya tidak mempunyai dokumen sah mengatakan Arya diberikan hak penjagaan kepada saya. "Atas sebab itu saya buat tuntutan hak penjagaan secara rasmi di mahkamah dan turut dipersetujui oleh bekas suami tanpa sebarang halangan," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin. Tambah Sasha dia memfailkan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Disember tahun lalu dan kes berkenaan selesai pada Jun lalu. Arya gembira dapat bertemu dengan maskot kartun Saseme Street ketika berkunjung ke Universal Studio Singapura. "Sejak awal saya lakukan semuanya sendiri tanpa bantuan peguam. Sepanjang tempoh itu juga banyak yang saya belajar dan Alhamdulillah semuanya selesai dengan baik," ujarnya. Bekas anggota kumpulan Elite itu berkahwin dengan Salyo seorang warga Indonesia pada 2007 sebelum bercerai pada 10 Julai 2012. Dalam pada itu, Sasha berkata, dia baharu sahaja pulang daripada bercuti di Singapura bersama anaknya sempena sambutan hari jadinya yang keenam pada 28 Ogos lalu. Tambah Sasha, percutian selama lima hari itu bertambah manis apabila krew syarikat penerbangan Firefly membuat kejutan kepada anaknya apabila menyambut hari istimewa itu di atas kapal terbang. "Kebetulan saya ada rakan yang bekerja dengan Firefly dan tidak sangka pula dia membuat kejutan siap dengan kek dan pengumuman khas berhubung hari jadi Arya. "Sudah tentu anak saya terkejut dan gembira namun paling penting kami sama-sama dapat meluangkan masa pada hari istimewanya dengan membawanya ke zoo, Universal Studio Singapura dan tempat menarik lain di sana," katanya. Arya menerima kejutan daripada krew penerbangan Firefly yang menyambut hari jadinya di atas pesawat. Jelas Sasha lagi, sejak Arya berusia empat tahun dia akan memastikan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun akan membawa anak kesayangannya itu bercuti sama ada di dalam atau pun luar negara. Menjadi seorang ibu tunggal memerlukan saya bekerja keras bukan untuk saya tetapi Arya dan saya akan menyimpan sedikit hasil wang daripada projek lakonan dan peragaan untuk digunakan membawanya bercuti," kata Sasha. Dalam perkembangan lain, Sasha berkata, selain berlakon dia kini lebih banyak menerima tawaran peragaan selain mengikuti sesi bersama peminat untuk pelancaran produk seperti kosmetik dan fesyen.