suria

Kerjaya Nabil Ahmad Tetap Sama Selepas Bergelar 'Pak Haji'

Nabil bakal berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 19 September ini.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Nabil Ahmad akan tetap meneruskan kerjaya seninya seperti biasa selepas pulang daripada mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Mekah pada tahun ini.

Dia akan berangkat pada Sabtu ini bagi penerbangan akhir.

Nabil, 32, berkata, dia tidak akan meninggalkan kerjaya seni kerana bidang tersebut adalah sumber rezekinya namun dia akan lebih peka terhadap tindak-tanduknya selepas ini.

"Insya-Allah saya akan tetap teruskan kerjaya dalam bidang seni selepas pulang nanti kerana itu adalah sumber rezeki saya.

"Pun begitu saya sedar pemerhatian peminat selepas ini akan berbeza dan akan lebih peka dalam sebarang tindakan saya selepas ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Bagaimanapun kata Nabil, dia berharap pemergiannya ke Tanah Suci dapat menaikkan semangat golongan muda untuk memasang impian menjejakkan kaki ke sana pada usia yang muda dan ketika masih sihat bertenaga.

"Syukur sahaja yang mampu saya ucapkan kerana doa dimakbulkan atas peluang dan jemputan untuk menunaikan haji pada usia muda.

Antara gambar kenangan Nabil ketika melakukan umrah pada bulan Ramadan lalu.

"Insya-Allah peluang saya dijemput ke sana dapat menaikkan semangat orang lain untuk Mekah pada usia muda juga," ujarnya.

Jelas Nabil, dia mendapat berita terpilih untuk mengerjakan ibadah haji kira-kira sebulan lalu oleh rakan yang turut bertanggungjawab membawanya mengerjakan umrah pada Ramadan lalu.

Lebih istimewa kata Nabil, pemergiannya bersama 21 lagi jemaah dalam rombongan terkahir itu bakal mengerjakan Haji Ifrad iaitu berniat mengerjakan haji di dalam pesawat dan terus berpakaian ihram ketika sampai.

"Alhamdulillah setakat ini persediaan untuk ke sana hampir lengkap dan saya bersama rombongan lain berkesempatan menyertai kelas persediaan untuk ke Tanah Suci yang diadakan oleh ustaz pengiring kami.

"Banyak ilmu yang kami pelajari menerusi kelas berkenaan termasuk berkenaan adab, doa dan niat yang perlu dilakukan dan saya cukup teruja," jelasnya yang dijangka pulang ke tanah air pada 1 Oktober depan.

Sementara itu, Nabil berkata, seperti mana jemaah yang lain, dia juga berharap ibadatnya diterima Allah dan berharap peminat mendoakan kesejahteraannya di sana nanti.

"Saya pada mulanya segan juga hendak hebohkan pemergian saya ke Tanah Suci tetapi Alhamdulillah apabila ramai yang sudah tahu tidak putus-putus doa yang saya terima," jelasnya.

Kerajaan Arab Saudi menetapkan tarikh 23 September 2015 sebagai hari wukuf.

Nabil Ahmad.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain