suria

Hujan Bakal Bikin Konsert Selepas 2 Tahun Berehat

Hujan
PETALING JAYA: Selepas dua tahun menyepi, kumpulan Hujan bakal muncul menerusi sebuah konsert #hujan10tahun di KL Live dekat sini pada 31 Oktober depan.

Menurut vokalisnya, Noh Salleh, konsert tersebut diadakan sempena sambutan ulang tahun yang ke-10 penubuhan kumpulan itu.

"Kami cukup bersemangat dan teruja untuk mengadakan persembahan di hadapan peminat dan penyokong (Raingers) yang setia bersama kami selama 10 tahun.

"Saya harap konsert ini akan menjadi kenangan paling manis buat Raingers kerana konsert ini juga adalah permintaan mereka menerusi laman sosial dengan hashtag #hujan10tahun," katanya kepada mStar Online.

Selain Noh, Hujan dianggotai oleh Hezry Hafidz atau AG Coco (gitar), Azham Ahmad (dram), Izzat Uzaini (bass) dan Dimas Santoso (keyboard).

Pada konsert itu nanti, Hujan dijangka mempersembahkan lebih 20 lagu daripada album pertama iaitu 1,2,3 Go yang dihasilkan pada 2006 hingga Sang Enemy pada 2012.

Sementara itu, Hujan berharap tiada lagi spekulasi kononnya kumpulan berkenaan akan berpecah kerana perkara itu tidak mungkin berlaku.

"Bukan senang mahu perjuangkan Hujan. Sibuk macam mana sekalipun, perkara itu (berpecah) adalah jalan terakhir yang akan kami lakukan.

"Dua tahun kami sepi adalah kerana masing-masing sibuk dengan komitmen peribadi selain kerja-kerja penerbitan muzik. Dimas pula sibuk dengan urusan penubuhan badan agihan royalti di Indonesia. Hujan tidak pernah berkubur," tegasnya.

Tiket konsert berharga RM53 boleh ditempah dengan melayari www.galactix.asia/hujan10tahun
Hujan

Artikel Sebelum

Artikel Lain