suria

Pelajar AF 2015 Dapat Pendedahan Berurusan Dengan Media

Para pelajar Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) sesi mendapatkan tip berhadapan dengan pihak media.
PETALING JAYA: Enam pelajar yang masih bertahan dalam Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) melalui satu sesi baharu iaitu pendedahan bagaimana untuk berhadapan dengan pihak media selepas berakhirnya rancangan itu.

Keenam-enam pelajar berkenaan iaitu Sharul, Sufi, Syamel, Bila, Lisa dan Rachel turut didedahkan mengenai senario dunia media massa ketika ini oleh dua wartawan iaitu Penerbit Hiburan Hlive, Syazwan Zakariah dan Editor Hiburan mStar Online, Niezam Abdullah.

Dalam rakaman yang bakal disiarkan menerusi slot Diari Akademi Fantasia itu, pelajar-pelajar berkenaan juga dilatih untuk berkomunikasi dengan wartawan, mengubah persepsi buruk terhadap media selain perlu bijak menanggani masalah yang dihadapi.

Syazwan yang berpengalaman dalam dunia penerbitan akhbar dan penyairan televisyen turut berkongsi petua bagaimana seseorang artis itu mampu bertahan lama seperti Datuk Siti Nurhaliza yang menjadikan media sebagai sahabatnya.

Sufi (kiri) merakamkam gambar selfie semasa rakaman Diari AF 2015 pada Isnin lalu.
Niezam yang lebih 22 tahun menjadi wartawan hiburan menasihati para pelajar agar tidak menanam sikap hipokrit dalam diri selain perlu bijak menggunakan media untuk memasarkan diri masing-masing.

Selain petua-petua berkenaan, para pelajar juga diuji dengan soalan-soalan mudah untuk melihat sejauh manakah kemampuan mereka menjawab soalan wartawan apabila berada dalam situasi sidang media sebenar.

Rakaman program berkenaan dapat ditonton menerusi rancangan Diari Akademi Fantasia 2015 yang akan disiarkan di Astro Ria pada Selasa (malam ini), pukul 9 malam.

Selain sesi berkenaan, konsert AF 2015 pada malam Ahad ini akan menampilkan lagu-lagu pilihan wartawan yang akan dinyanyikan oleh enam pelajar berkenaan.

Konsert itu bertemakan pilihan media & penonton serta duet. 
AF 2015, Akademi Fantasia

Artikel Lain