suria

Bakal Bertanding Wakil Rakyat, Pasha Tetap Bersama Ungu

Pasha bakal bertanding bagi merebut jawatan Datuk Bandar Kota Palu di Sulawesi Tengah, Indonesia pada Disember ini. Foto THE STAR ROHAIZAD DARUS.
KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Ungu, Pasha mengambil keputusan untuk bergiat aktif dalam dunia politik bukan disebabkan sudah berasa bosan dengan dunia nyanyian.

Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 36, sebaliknya berkata, minat terhadap bidang itu sejak kecil telah mendorongnya untuk membawa perubahan dan pembangunan kawasannya di Kota Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.

"Dunia politik bukan sesuatu yang asing bagi saya kerana Ayah dan kakak saya turut bergiat aktif dalam bidang itu.

"Ini bukan soal sudah bosan dengan Ungu tetapi minat mendalam terhadap politik yang belum pernah saya cuba sebelum ini dan saya tidak mahu dianggap menyertai politik kerana suka-suka," katanya kepada mStar Online.

Pasha ditemui pada sidang media Ungu - Mozaik Promo Tour 2015 yang diadakan di Hotel Royal di sini, Isnin.

Kumpulan itu bakal mengadakan konsert di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 23 September ini.

Ungu yang turut dianggotai oleh Makki, Oncy, Rowman dan Enda turut akan mengadakan konsert di Kuching, Sarawak (25 Septemer) dan Kota Kinabalu, Sabah (27 September).

Pasha pada Januari lalu menjadi calon pertama mendaftar untuk bertanding sebagai Datuk Bandar Kota Palu, Sulawesi Tengah pada pemilihan jawatan itu pada Disember depan.

Ungu hadir ke Malaysia untuk mengadakan konsert di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.

Bertanding atas tiket Parti Amanat Nasional, Pasha menghantar borang pencalonan itu di Pejabat Dewan Perwakilan Daerah Sulawesi Tengah dan turut mendapat sokongan keluarga dan peminatnya.

Pasha kini sedang sibuk melakukan persiapan berkempen bagi Pemilihan Umum Kepala Daerah (PemiluKada) di Kota Palu.

Dalam pada itu, ditanya mengenai karier muziknya, Pasha menyangkal kumpulan itu bakal dibubarkan dan dia tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan Ungu dan akan terus bersama mereka.

Jelas Pasha, nyanyian tidak akan pernah lenyap daripada dirinya dan laporan mengatakan dia akan bersara tidak benar.

"Ungu sudah berusia 20 tahun kami kuat sebagai sebuah kumpulan, tidak mungkin kami akan sia-siakan begitu sahaja dan Ungu tetap keutamaan tetapi pada masa sama saya ingin melakukan sesuatu diluar kebiasaan.

"Kami akan tetap bersama sebagai sebuah kumpulan cuma sementara waktu ini saya akan beri fokus kepada pemilihan dan kempen di kawasan saya pada Disember nanti," jelasnya.

Malah kata Pasha, Ungu mempunyai pelbagai perancangan untuk mengukuhkan nama mereka termasuk membuka syarikat produksi iaitu Ungu Production yang akan mendidik artis baharu dari Malaysia dan Indonesia.

Sementara itu, Pasha mengakui popularitinya sebagai artis turut membantu dalam kempennya untuk merebut jawatan sebagai Datuk Bandar Kota Palu namun dia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada perkara itu.

Ungu bersama Pengarah Urusan SRC, Edwin Tan.

Kata Pasha, untuk bergelar wakil rakyat dia perlu menyakinkan penduduk di kawasannya dengan manifesto yang kukuh dalam membela nasib mereka.

"Saya mahu memberi sumbangan kepada kampung saya dan melakukan perubahan bukan sahaja dari segi pembangunan tetapi menjadi suara kepada anak-anak muda.

"Populariti memang membantu tapi ia perlu seiring dengan kerja keras dalam memberi keyakinan kepada rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pasha berkata, pada konsert Ungu - Mozaik Promo Tour 2015, mereka akan menyampaikan 16 buah khas buat peminat dan berharap persembahan itu nanti akan meninggalkan kenangan manis kepada penonton yang hadir.

Kata Pasha, konsert jelajah itu juga bertambah istimewa sebagai meraikan ulangtahun ke-10 kumpulan itu bersama syarikat rakaman SRC di Malaysia.

"Kami sentiasa ingin kembali ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsert tetapi jadual padat membataskan masa untuk hadir ke Malaysia.

"Bagaimanapun konsert ini adalah bukti kami sentiasa menghargai peminat di Malaysia dan berharap semua yang hadir akan terhibur," ujarnya.
Ungu, Pasha

Artikel Berikut

Artikel Lain