PETALING JAYA: Pelakon Ridzuan Hashim berkata kunjungannya ke kelab malam baru-baru ini bertujuan untuk bertemu dengan seorang produser antarabangsa, bukan berfoya-foya seperti yang diperkatakan. Ridzuan atau nama sebenarnya Mohd Ridzuan Hashim, 51, turut menjelaskan, foto dia bersama pelakon baru Fara Mendoza dan rakan wanita itu, Carmen yang menjadi viral di internet pula diambil semasa dua wanita itu memanggilnya untuk bergambar sebagai peminat. "Saya ke kelab kerana mahu berjumpa dengan penerbit antarabangsa di sana. Ketika berada dalam kelab terbabit, dua wanita itu memanggil saya kerana mahu bergambar. "Mereka bergambar sebagai peminat. Saya pun tak kenal siapa mereka. Tetapi lain pula jadinya apabila foto itu menjadi viral di internet," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin. Ahad lalu, teman wanita Han Wong (bekas kekasih Tasha Shila) iaitu Carmen telah memuat naik gambar dia bersama rakan-rakan serta Ridzuan di Instagram dengan meletakkan kapsyen ucapan terima kasih kerana meraikan hari lahirnya di kelab berkenaan. Bagaimanapun tidak lama kemudian gambar tersebut telah dipadamkan Carmen selepas pengikut-pengikutnya mempersoalkan kehadiran Ridzuan di kelab malam berkenaan. Namun begitu gambar tersebut telah menjadi viral di blog-blog tempatan dan ramai yang mengkritik Ridzuan dengan menyifatkan dia sudah tua dan tidak sepatutnya berfoya-foya di tempat seperti itu. Dalam pada itu, sumber berkata, foto berkenaan sengaja didedahkan Carmen kepada umum. Sementara itu, Ridzuan meminta masyarakat tidak sepatutnya memberi pandangan skeptikal terhadap orang yang berada di kelab malam dan ia disifatkan sebagai tidak adil. "Tidak semestinya orang ke kelab malam itu jahat. Saya ke sana pun sekiranya ada urusan-urusan tertentu. Bukan mahu berseronok, apatah lagi saya mempunyai anak-anak yang sudah besar," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Ridzuan berkata dia baru saja disunting penerbit antarabangsa bagi projek filem Hong Kong sebagai watak gengster. Dia juga perlu melalui uji bakat dahulu sebelum dipilih membintangi filem berkenaan. "Untuk filem itu saya perlu jadi gengster yang tahu tiga bahasa iaitu Thailand, Myanmar dan Kantonis. Agak menacar, tetapi saya akan cuba juga. "Selain itu, ada juga beberapa penerbit negara luar mahu saya terlibat dengan filem terbitan mereka namun semua itu masih lagi dalam perbincangan," tuturnya. Ridzuan adalah pelakon terkenal sejak tahun 1980-an.