suria

Dayana Roza Minta Kekasih Pastikan Instagram Mode 'Private'

Dayana Roza semakin mencipta nama dalam industri hiburan. FOTO: Haziq Azimi
KUALA LUMPUR: Pelakon Dayana Roza meminta teman lelakinya meletakkan akaun Instagram milik dirinya dalam mod peribadi kerana tidak mahu hubungan mereka menjadi perhatian umum.

Dayana atau nama sebenarnya Nur Dayana Kamsun Baharin, 24, berkata,  dia membuat permintaan itu kerana ingin pemuda berkenaan mengekalkan kehidupan seperti orang biasa kerana dia tidak terlibat dalam bidang hiburan.

"Dia adalah orang biasa dan tidak terlibat dengan industri hiburan jadi saya minta dia 'private' akaun Instagram milik dia agar tidak menjadi perhatian umum.

"Malah saya minta dia tidak sewenang-wenangnya menerima pengikut daripada individu yang tidak dikenali di akaunnya," kata Dayana Roza kepada mStar Online.

Dayana ditemui pada sidang media drama lakonan terbaharunya, Memori Cinta #3 di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu.

Drama arahan Boy Cavalera itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Amy Mastura, Shima Anuar dan Riz Amin.


Si cantik manis Dayana Roza. Foto dari Instagram Dayana Roza.

Ia bakal menemui penonton bermula 11 November depan, setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 9 malam di HyppSensasi, HyppTV saluran 116.

Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Asam Pedas Untuk Dia itu sebelum ini pernah bercinta dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Muslim Ahmad namun hubungan berkenaan berakhir pada awal tahun ini.

Dalam pada itu, Dayana berkata, hubungan bersama teman lelaki baharunya itu masih lagi pada peringkat mengenali hati budi masing-masing.

"Buat masa ini saya selesa berkawan dengannya selepas diperkenalkan orang rakan kami.

"Pada saya biarlah kami mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu kerana jika ada jodoh pasti tidak ke mana," ujarnya.

Sementara itu, Dayana yang juga bekas peserta program Anak Wayang berkata, dia bersyukur usahanya selama enam tahun untuk membina nama sebagai pelakon mula menampakkan hasil biarpun nyaris berputus asa.

Bagaimanapun dia tidak pernah berasa selesa dengan kedudukannya kini kerana masih banyak perkara perlu dipelajari sebagai pelakon.

"Alhamdulillah usaha tanpa jemu sebelum ini mula membuahkan hasil sehingga dapat memegang peranan utama dalam drama tetapi saya tidak boleh berasa selesa kerana ia akan menyebabkan saya malas.

"Saya perlu sentiasa memperbaiki diri dan menghargai peluang dan kepercayaan diberikan kepada saya kerana masih banyak kekurangan yang perlu dipertingkatkan," jelasnya.

Bercakap mengenai drama bersiri Memori Cinta #3, Dayana berkata, ia adalah projek paling panjang yang pernah dia terlibat iaitu perlu menyelesaikan 30 episod.

Bagaimanapun kata Dayana, dia seronok dapat menjayakan projek berkenaan kerana ia mengetengahkan kisah menarik mengenai tiga penuntut universiti yang mengalami pelbagai rintangan untuk pulang ke Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Dayana  baharu sahaja memasuki set penggambaran drama bersiri Demi Allah Aku Pilih Kamu untuk slot Samarinda di TV3.

 

Dayana Roza

Artikel Lain