KUALA LUMPUR: Pelakon Shahrizal Jaszle mengalami alahan teruk sejak isterinya, Hanis Husna Mohamad Nadzree disahkan hamil empat bulan. Shahrizal, 27, berkata, pada awalnya dia pelik dengan kerana alahan tersebut berlaku sebelum dia mendapat tahu isterinya sedang berbadan dua. "Saya pada mulanya pelik dengan diri sendiri sebab selalu berasa loya dan muntah sehingga kadang-kadang ia menggangu kerja di set penggambaran. "Bagaimanapun saya mula faham situasi itu apabila isteri disahkan hamil empat bulan tetapi peliknya dia tidak mengalami sebarang alahan sepanjang tempoh itu," katanya kepada mStar Online. Para artis dan mereka yang hadir semasa sidang media drama Maria Terindah dan Memori Cinta #3 siaran Hypp TV di Menara Kuala Lumnpur pada Rabu. Shahrizal ditemui pada sidang media pelancaran drama bersiri lakonan terbaharunya, Maria Terindah di Menara Kuala Lumpur di sini, Rabu. Drama 30 episod itu diarahkan oleh Kabir Bhatia dan turut menampilkan barisan pelakon seperti Sharifah Sakinah, Redza Rosli dan Shakila Koriri. Ia sudah pun mula bersiaran sejak 5 Oktober lalu setiap hari Isnin dan Selasa, pukul 9 malam di HyppSensasi, HyppTV saluran 116. Tambah Shahrizal, biarpun berasa kurang selesa dengan alahan dialaminya namun dia tidak menganggap ia sebagai satu bebanan. Sebaliknya, dia bersyukur dapat berkongsi kepayahan bersama isterinya dan situasi itu adalah penghargaan dikurniakan oleh Tuhan. "Bukan semua suami dapat merasai dan berkongsi apa yang dialami isteri yang hamil dan saya bertuah sebenarnya. "Sekurang-kurangnya dapat menanggung bebannya yang sedang mengandungkan anak sulung kami," jelasnya. Terdahulu, Shahrizal mengejutkan peminatnya apabila mengambil keputusan berkahwin dengan Hanis yang juga seorang model pada 1 Mei lalu selepas mendedahkan hubungan mereka di Instagram miliknya. Salah satu foto yang dipetik dari Instagram Shahrizal Jaszle (kiri) yang bergambar bersama isterinya Hanis Husna. Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia gembira apabila mendapat tahu isterinya hamil selain tidak sabar untuk menanti kehadiran orang baru dalam keluarga mereka. Ditanya soal jantina anak, Shahrizal berharap dapat menimang anak lelaki namun menyerahkan perkara itu kepada takdir. "Alhamdulillah setakat ini keadaan isteri dalam keadaan baik cuma dia selalu mengidam sahaja tetapi tidaklah benda-benda yang pelik. "Apa-apa pun saya bersyukur bakal bergelar bapa kerana saya memang inginkan cahaya mata dan sudah bersedia memikul tanggungjawab itu pada usia muda," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Shahrizal kini terpaksa berehat selama beberapa hari selepas jari kelinking kirinya retak ketika dia menjalani penggambaran drama bersiri Maria Terindah. Jelas Shahrizal, kejadian berlaku ketika dia sedang melakonkan babak merentap cadar di atas katil sehingga ia mencederakan jarinya. "Saya pun pelik bagaimana cadar boleh menyebabkan jari saya retak tetapi itulah yang berlaku. Mungkin saya rentap terlalu kuat. "Ikutkan saya perlu masa sebulan untuk sembuh tetapi penggambaran drama berkenaan masih ada baki lagi dan saya akan tetap teruskan," katanya. "Bagaimanapun kata Shahrizal, dia puas dapat berlakon dalam drama berkenaan kerana watak Aris dipegangnya sangat mencabar. "Saya suka dengan watak sebagai Aris kerana dia seorang yang psiko dan ia memberi cabaran kepada saya sebagai pelakon. "Melalui Maria Terindah juga penonton dapat melihat transformasi saya daripada berbadan gempal kepada kembali bentuk asal selepas berusaha mengamalkan diet dan senaman," ujarnya.